Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (2 Julai), persatuan majikan menyatakan kesediaan mereka untuk menawarkan pekerjaan kepada pelarian Rohingya dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar).
Namun, penawaran itu akan dilaksanakan sekiranya kerajaan membenarkan mereka bekerja secara sah.
Persatuan Majikan Sedia Tawar Pekerjaan Kepada Pelarian Buat Sektor Kekurangan Tenaga Kerja
Menurut Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, pihaknya menyokong usaha kerajaan dalam membenarkan pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk bekerja secara formal khususnya dalam sektor yang kekurangan tenaga kerja.
Jelasnya, langkah tersebut bukan sahaja mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Apatah lagi, pengambilan pekerja asing yang baharu melibatkan kos tinggi serta proses yang panjang.
“Pendekatan ini membantu optimumkan sumber tenaga kerja yang sedia ada di dalam negara dan pada masa sama mengurangkan keperluan membawa masuk pekerja asing baharu yang melibatkan kos pengambilan tinggi serta proses yang panjang,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Perlu Tenaga Kerja Isi Kekosongan Dalam Sektor 3D
Tambah Syed Hussain lagi, negara ini masih memerlukan tenaga kerja untuk mengisi kekosongan dalam sektor 3D yang kurang mendapat sambutan rakyat tempatan antaranya seperti perladangan, pembinaan serta pekerjaan yang berisiko.
“Negara bergantung kepada sektor ini bagi memastikan rantaian perkhidmatan dan pengeluaran produk terus berjalan. Persoalannya, siapakah yang akan mengisi kekosongan tersebut?
“Apabila taraf hidup masyarakat semakin meningkat, rakyat tempatan semakin kurang berminat melakukan kerja-kerja pembersihan dan pekerjaan yang kotor. Sebab itu negara masih memerlukan tenaga kerja asing,” jelasnya.
Beri Pekerjaan Kepada Pelarian Yang Sah Mudahkan Kerajaan Daftar & Pantau
Pada masa yang sama, Syed Hussain berpendapat pemberian peluang pekerjaan kepada pelarian yang sah memudahkan kerajaan untuk mendaftar serta memantau golongan ini.
“Adalah lebih baik mereka bekerja secara sah berbanding secara haram. Semua undang-undang buruh dan undang-undang negara juga akan terpakai kepada mereka seperti pekerja lain,” jelasnya.
Tawar Kerja Kepada Pelarian Tak Semestinya Untungkan Ekonomi – Pakar Ekonomi
Dalam pada itu, pakar ekonomi, Dr. Idham Md. Razak menjelaskan, penawaran peluang pekerjaan kepada pelarian tidak semestinya menguntungkan ekonomi negara lebih-lebih lagi jika pelaksanaan tersebut tidak dikawal dengan baik.
Terang Idham, dasar sebegitu berisiko memberi tekanan kepada gaji pekerja dalam segmen tertentu serta turut melibatkan kos pentadbiran dan pemantauan.
“Tanpa kawalan yang ketat, manfaat ekonomi mungkin tidak melebihi kos sosial dan fiskal yang perlu ditanggung.
“Dalam jangka panjang, terdapat risiko majikan terus bergantung kepada tenaga kerja kos rendah berbanding melabur dalam teknologi dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, sekali gus melambatkan transformasi ekonomi negara ke arah sektor bernilai tinggi,” jelasnya.
Untuk info, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan sebelum ini pernah mengumumkan seramai 219,472 orang merupakan pemegang kad UNHCR di Malaysia sehingga April 2026.
Daripada jumlah tersebut, 197,591 merupakan pelarian Myanmar dengan 128,200 terdiri daripada komuniti Rohingya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya
Baca Artikel Berkaitan: Tidak Makan 5 hari, 59 Warga Rohingya Terkandas Di Thailand Semasa Menuju Ke Malaysia




