Persatuan Pemberita Tawau kumpul dana RM320,000 beli premis baharu

5 Sep 2025 • 3:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Persatuan Pemberita Tawau (PPT) berjaya mengumpul RM320,000 sempena sambutan Hari Wartawan 2025 dan Majlis Makan Malam Kutipan Dana bagi pembelian premis bangunan baharu pertubuhan itu.

Presiden PPT Tan Chin Cheng berkata kutipan itu melangkaui sasaran awal dan mencatat pencapaian amat membanggakan.

Menurutnya, sambutan tahunan Hari Wartawan kali ini membawa makna sangat istimewa apabila diadakan serentak dengan usaha mengumpul dana bagi pembelian bangunan baharu persatuan.

“Acara ini menjadi titik penting dalam perjalanan panjang pembangunan persatuan sejak ditubuhkan pada 1996.

“Kejayaan mengutip sejumlah besar dana ini juga adalah satu peristiwa penting dalam merealisasikan hasrat PPT membeli premis baharu di bangunan Garden City, Jalan Tan Tiew Nan serta bakal menjadi pusat aktiviti lebih selesa dan strategik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya kejayaan mengumpul RM320,000 dalam suasana ekonomi yang masih mencabar ketika ini adalah bukti nyata pengiktirafan masyarakat terhadap PPT.

“Sokongan padu pelbagai pihak mencerminkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap peranan serta tanggungjawab wartawan, khususnya di daerah ini.

“Dana ini bukan sekadar wang ringgit, tetapi melambangkan semangat kebersamaan dan kepercayaan yang tinggi daripada masyarakat.

“Sokongan inilah yang menjadi pemangkin untuk persatuan terus maju di masa hadapan serta memberi khidmat lebih baik kepada ahli-ahli PPT dan juga masyarakat Tawau,” katanya.

Tan turut merakamkan penghargaan kepada semua pertubuhan, syarikat korporat serta individu yang bermurah hati menyumbang dan menjayakan majlis cukup bermakna itu.

Majlis yang berlangsung di Dewan SJK (C) Yuk Chin pada Isnin itu berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan pentas sebelum diakhiri dengan pengumuman rasmi jumlah kutipan dana.