
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (22 November), Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu kembali menerajui pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan sistem percukaian GST adalah lebih adil dan berfokus berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada ketika ini.
Jelasnya, GST telah dilaksanakan di lebih 170 buah negara dan wajar dikembalikan kerana Malaysia dilihat ketinggalan berbanding negara yang lain.
Kerajaan Bakal Mentadbir Negara Disaran Pertimbang Kadar GST Yang Rendah Jika Ia Diperkenalkan Semula
Semalam (22 November), kerajaan yang bakal mentadbir negara disaran untuk mempertimbang kadar GST pada paras rendah rendah jika sistem percukaian itu diperkenalkan semula.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, sekiranya GST dilaksanakan semula, kadar yang dicadangkan adalah 3% bagi mengurangkan beban terhadap kos sara hidup rakyat.
Jelasnya, penetapan kadar tersebut dilihat memadai berbanding kadar sebelum ini yang ditetapkan pada 6%.
Ini kerana harga barang keperluan rakyat pada ketika ini sudah terlalu tinggi berbanding tahap pendapatan mereka.
Kenaikan Kos Sara Hidup Tekan Pengguna, Turut Jejaskan Peniaga
Jelas Mohamad Yusrizal, kenaikan kos sara hidup bukan hanya sekadar menekan pengguna, malah ia turut menjejaskan peniaga.
Ini kerana kuasa beli orang ramai akan merosot sekaligus menyebabkan perniagaan menjadi semakin perlahan.
“Sekiranya GST ini mampu mengurangkan beban rakyat, kenakan pada kadar peratusan yang rendah iaitu 3% sebagai permulaan.
“Pada masa sama, kita berharap pengecualian penuh diberikan terhadap barangan keperluan asas serta pembelian membabitkan golongan berpendapatan rendah (B40) bagi meringankan tanggungan mereka,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Mohamad Yusrizal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid mengenai janji beliau untuk mengembalikan GST jika gabungan tersebut kembali mentadbir negara.
Sistem SST Bersifat Cukai Bertindih Atau Berganda Di Setiap Peringkat – Presiden CAKE
Mengulas tentang perbandingan di antara GST dan SST, Mohamad Yusrizal menjelaskan SST yang dilaksanakan pada ketika ini bersifat cukai bertindih atau berganda pada setiap peringkat rangkaian bekalan.
Jelasnya, cukai 8% yang dikenakan daripada pengilang, pemborong dan peruncit akan menyebabkan harga akhir barang terlibat akan meningkat secara berperingkat.
“Sebaliknya, asas pelaksanaan GST membolehkan pengilang dan pemborong menuntut semula cukai input mereka, menjadikan kaedah pengiraannya lebih telus dan adil.
“Namun, kekeliruan timbul sebelum ini akibat kekurangan penerangan yang jelas kepada pengguna, selain paparan jumlah cukai secara terperinci pada setiap resit pembelian membuatkan rakyat berasa lebih terbeban berbanding SST yang cukainya terselindung dalam harga jualan,” katanya.
Turut Gesa KPDN Ambil Langkah Kawalan Terhadap Cubaan Naikkan Harga
Pada masa sama, Mohamad Yusrizal turut menggesa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah yang proaktif untuk mencegah sebarang cubaan kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.
“KPDN sudah mempunyai peruntukan undang-undang melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh diguna pakai sepenuhnya untuk mengekang kegiatan pencatutan, sekali gus melindungi hak pengguna,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam Ucapan Dasar ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada 11 September lalu menggesa agar GST dikembalikan dan menyifatkan ia sebagai sistem percukaian paling berkesan di bawah pentadbiran BN.
Malah, dia turut menyatakan azam parti UMNO untuk menetapkan kadar cukai tersebut pada paras yang munasabah bagi menyelaraskan jaminan sosial rakyat.
Pada tahun 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kerajaan pimpinannya akan melaksanakan GST jika ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000 ke RM4,000.
Namun pada 2026, beliau merasakan minimum gaji RM4,000 lebih sesuai sebelum kerajaan boleh mempertimbangkan pelaksanaan GST itu.
Baca Artikel Berkaitan: Kembalikan GST Untuk Kukuhkan Asas Percukaian Negara, Nak Panggil ‘Madani Tax’ Pun Boleh – KJ
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Berkeras Tidak Mahu GST, Bukan Soal Politik” – Anwar Tolak GST Kerana Bimbang Rakyat Tanggung Beban
Baca Artikel Berkaitan: “Pendapatan Rakyat Terlalu Rendah” – PMX Perjelas Kenapa Kerajaan Tangguh Pelaksanaan GST





