Ismail Lasim Kekal MB Negeri Sembilan

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 1:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Ismail Lasim Kekal MB Negeri Sembilan

SEREMBAN - Datuk Ismail Lasim akan terus menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mengekalkan jawatan berkenaan.

Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika menghadap Yang di-Pertuan Besar di Istana Hinggap pada jam 10.30 pagi tadi.

Beliau turut menafikan telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada pemerintah negeri, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu turut melafazkan ikrar taat setia kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selain mengumumkan penarikan balik sepenuhnya semua mesyuarat dipengerusikannya serta surat-surat yang menggesa supaya baginda dilucutkan daripada kedudukannya.

“Saya ingin menjelaskan laporan berhubung surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 16 November lalu. Saya tidak pernah mengemukakan mahupun memberi persetujuan supaya surat berkenaan dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.

“Semua surat dan mesyuarat berkaitan yang ditarik balik akan direkodkan sebagai terbatal,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar.

Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap pada jam 10.17 pagi ini bagi menghadap Tuanku Muhriz.

Tuanku Muhriz tiba di istana kira-kira jam 9.30 pagi dengan diiringi tiga Undang, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman; dan Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja.

Antara surat lain yang turut ditarik balik ialah surat bertarikh 17 September 2026 dihantar beliau bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada Majlis Raja-Raja, dengan mendakwa Tuanku Muhriz bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

“Saya telah menarik balik surat bertarikh 17 September itu dan mengesahkan bahawa kandungannya bukan pendirian kerajaan negeri. Perkara ini juga akan direkodkan dalam minit mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut berikrar tidak akan membantu sebarang usaha untuk mengisytiharkan individu lain sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

“Saya tidak akan membenarkan mana-mana ADUN, pihak negeri atau agensi kerajaan mencabar kedudukan Yang Dipertuan Besar,” katanya.

Pertemuan itu berlangsung susulan laporan pada Isnin lalu bahawa Ismail telah mengemukakan peletakan jawatannya, hanya kira-kira empat bulan selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu.

Bagaimanapun, pihak Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan bahawa peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz turut berkenan menerima menghadap Ismail pada Selasa, dengan pertemuan berlangsung kira-kira dari jam 5 petang hingga 6.30 petang. - Getaran, 20 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved