Persekitaran tak selamat, mangsa masih berada di PPS

8 Sep 2022 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penduduk terlibat ditempatkan di dua PPS yang dibuka sejak Selasa. Foto Ihsan APM Kedah

image is not available
Keadaan selut tebal meliputi kawasan penempatan penduduk selepas banjir surut. - Foto Ihsan APM Kedah

BALING - Mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini belum dibenarkan pulang berikutan keadaan persekitaran dibimbangi tidak selamat.

Pegawai Pertahanan Awam daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, seramai 128 mangsa membabitkan 36 keluarga masih berada di dua PPS, iaitu di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.

Menurutnya, seramai 94 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, manakala 34 mangsa daripada enam keluarga di PPS Dewan Masjid Al-Huda.

"Keadaan cuaca masih tidak menentu, rumah mereka masih tidak selamat jadi semua mangsa tidak dibenarkan pulang.

"Penduduk terlibat dinasihatkan tinggal di PPS sehingga keadaan pulih, namun difahamkan ada antara mangsa pulang sekejap untuk bersihkan rumah dan datang semula ke PPS untuk menginap," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Faizol berkata, kesemua data masuk dan keluar PPS akan direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan.

**media[1903153]**

"Mangsa banjir di PPS sentiasa dipantau supaya terhindar daripada penyakit berjangkit. JKM pula akan merekodkan mangsa yang berpindah ke PPS supaya mereka berada dalam keadaan selesa, terutama warga emas yang uzur," katanya.

Menurutnya, Jambatan Bailey masih ditutup kepada orang ramai manakala kerja pembaikan sedang dilakukan oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Keadaan cuaca di Baling masih hujan di sesetengah tempat. Kami nasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran laluan sungai atau kawasan rendah supaya tinggalkan rumah demi keselamatan," katanya.

Pada Selasa, hujan lebat lebih tiga jam bermula pada 2 petang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.