

BALING - [DIKEMAS KINI] Mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini belum dibenarkan pulang berikutan keadaan persekitaran dibimbangi tidak selamat.
Pegawai Pertahanan Awam daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, seramai 106 mangsa membabitkan 31 keluarga masih berada di dua PPS, berbanding 128 mangsa daripada 36 keluarga pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua data masuk dan keluar PPS akan direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan.
**media[1903153]**
"Mangsa banjir di PPS sentiasa dipantau supaya terhindar daripada penyakit berjangkit. JKM pula akan merekodkan mangsa yang berpindah ke PPS supaya mereka berada dalam keadaan selesa, terutama warga emas yang uzur," katanya.
Menurutnya, Jambatan Bailey masih ditutup kepada orang ramai manakala kerja pembaikan sedang dilakukan oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Keadaan cuaca di Baling masih hujan di sesetengah tempat. Kami nasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran laluan sungai atau kawasan rendah supaya tinggalkan rumah demi keselamatan," katanya.
Pada Selasa, hujan lebat lebih tiga jam bermula pada 2 petang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.


