
SEREMBAN – Perselisihan rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditemukan maut dengan kecederaan disyaki akibat tikaman di kediamannya di Kompleks Perumahan Awam, di Nilai, malam tadi.
Mangsa wanita berusia lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nilai.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 9.30 malam, selepas suami mangsa menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Menurutnya, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu memaklumkan mengenai kematian isterinya di kediaman berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan awal oleh Bahagian D10 Forensik Kontinjen Negeri Sembilan mendapati mangsa mengalami kecederaan yang disyaki akibat tikaman,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, sebilah pisau serta beberapa barang kes lain turut dirampas bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE
The post Perselisihan rumah tangga disyaki jadi punca appeared first on Kosmo Online.




