
NILAI – Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) yang ditemukan maut di kediamannya dipercayai ditikam tiga kali, masing-masing dua tikaman di bahagian kiri perut dan satu pada pipi kanan.
Pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian itu turut ditemukan di atas tilam dalam bilik utama kediaman mangsa selepas ditunjukkan suspek.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai perselisihan rumah tangga.
Menurutnya, berdasarkan soal siasat awal, pertengkaran dipercayai berlaku selepas mangsa menyatakan hasrat untuk bercerai dan memaklumkan bahawa proses perceraian telah dimulakan ketika suspek masih menjalani hukuman penjara.
“Bagaimanapun, tarikh sebenar pemfailan masih dalam proses pengesahan melalui dokumen rasmi berkaitan,” katanya ketika dihubungi.
Alzafny berkata, pisau berkenaan telah diambil untuk tindakan lanjut dan punca kematian mangsa masih belum dapat dipastikan kerana bedah siasat dijadualkan esok.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mangsa yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
Suspek dilaporkan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira pukul 8 malam.-KOSMO! ONLINE
The post Pegawai AKPS ditikam tiga kali, suspek tunjuk pisau atas tilam appeared first on Kosmo Online.






