
Kota Kinabalu: Persiapan sedang giat dijalankan untuk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri 2025 yang akan berlangsung di Padang Merdeka pada 16 September.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Christina Liew (gambar), yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri, mempengerusikan mesyuarat akhir pada Selasa, di mana beliau menerima laporan kemajuan persiapan daripada Setiausaha Datuk Josie Lai, yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).
Ketua 14 Jawatankuasa Kecil yang diberikan tanggungjawab masing-masing turut membentangkan laporan mereka.
Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin berkenan untuk hadir memeriahkan sambutan terbabit.
Selain program hiburan, Liew berkata cabutan bertuah untuk orang awam turut akan diadakan dengan hadiah menarik menanti pemenang. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk telefon pintar, set televisyen, peralatan elektrik, basikal, baucar penginapan hotel dan baucar bufet.
“Turut disediakan minuman Milo percuma, aiskrim dan belon untuk kanak-kanak, ditaja oleh syarikat-syarikat yang bermurah hati,” tambahnya.



