
KUALA LUMPUR: Persidangan Kedua Perubatan Gaya Hidup Malaysia yang bakal diadakan di sini bulan depan akan menumpukan kepada penggunaan Perubatan Gaya Hidup (LM) untuk membantu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit tidak berjangkit (NCD).
Persidangan dua hari bermula 1 Dis itu bertemakan ‘Perubatan Gaya Hidup: Preskripsi Untuk Penyakit Kronik’ dan membincangkan bagaimana LM dapat membantu memenuhi sasaran Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan satu pertiga kadar kematian akibat NCD melalui pencegahan dan rawatan menjelang 2030.
Presiden Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) Dr Sivaneswaran Poobalasingam (foto) berkata LM ialah disiplin baharu dalam penjagaan kesihatan yang berpotensi mengurangkan kematian dan morbiditi berkaitan NCD.
Intervensi terapeutik berasaskan bukti itu bertujuan untuk mencegah, merawat dan membalikkan penyakit kronik (reverse chronic disease) dengan menangani punca asas dan menggantikan tingkah laku tidak sihat kepada gaya hidup berkualiti.
Enam teras terasnya ialah pemakanan berasaskan tumbuhan, aktiviti fizikal, pengurusan tekanan, perhubungan sosial yang baik, tidur yang berkualiti dan tidak merokok serta pengambilan alkohol secara sederhana.
“Amalan LM mempunyai potensi dalam mengurangkan kebarangkalian kematian daripada mana-mana empat NCD utama antara umur 30 dan 70 tahun sebanyak satu pertiga menjelang 2030.
“Dalam perjuangan global kami menentang NCD, saya fikir sudah tiba masanya LM mempunyai peranan penting dan hal ini akan menjadi tumpuan perbincangan persidangan yang akan datang,“ katanya kepada Bernama.
Persidangan itu akan dijalankan dalam format hibrid dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
Antara pakar LM antarabangsa yang menyertai persidangan itu ialah Profesor Emeritus Biokimia Pemakanan di Cornell University Amerika Syarikat T. Colin Campbell, pengasas dan bekas pengarah Pusat Penyelidikan Pencegahan Yale-Griffin Universiti Yale Dr David L. Katz, Presiden Kolej Perubatan Gaya Hidup Amerika Dr Beth Frates dan Prof Vimal Karani dari Nutrigenetik dan Nutrigenomik University of Reading.
Acara itu akan diadakan di sebuah hotel di sini, maklumat lanjut boleh diperolehi di https://lifestylemedicinemalaysia.org. - Bernama


