Persimpangan Elmina dibuka semula kepada pengguna - Prolintas

18 Aug 2023 • 6:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Laluan keluar dan masuk ke Persimpangan Elmina dari kedua-dua arah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) yang ditutup berikutan nahas pesawat pada Khamis, telah dibuka semula kepada pengguna lebuh raya sejak 3.40 petang Jumaat.

Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan laluan berkenaan dibuka semula itu melibatkan laluan masuk dari Shah Alam ke Elmina barat, dan laluan masuk ke Elmina timur dari Rawang, termasuk susur keluar ke Shah Alam.

"Satu daripada dua lorong jalan dari Elmina barat ke Rawang masih ditutup untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan di tempat kejadian. Namun begitu, pengguna masih boleh mengakses lebuh raya tersebut.

"Pasukan Operasi GCE telah ke lokasi kejadian untuk menilai kerosakan dan sedang menjalankan pembaikan segera jalan," menurut kenyataan itu.

Prolintas memaklumkan pembersihan jalan telah dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sebuah pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang terhempas kira-kira 2.50 petang Khamis, mengorbankan 10 nyawa yang melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN