'Pertahan institusi Raja bukan ikut kepentingan politik semata-mata' – Amirudin

LocalPolitics
21 May 2026 • 2:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Pertahan institusi Raja bukan ikut kepentingan politik semata-mata' – Amirudin
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Amirudin (kiri)

SHAH ALAM - Semua pihak termasuk pembangkang perlu menghentikan amalan atau sikap memilih-milih dalam mempertahankan institusi Raja, agama dan bangsa hanya ketika menguntungkan kedudukan politik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan sedemikian yang mengabaikan prinsip sama apabila tidak selari dengan kepentingan sendiri boleh merosakkan keharmonian negara.

Menurutnya, beliau menjunjung kasih titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Aidiladha yang menekankan kepentingan perpaduan umat, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta tanggungjawab memelihara keamanan dan kestabilan negeri serta negara.

"Titah Tuanku hadir pada waktu yang amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup sentimen perkauman, memperalatkan agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Amirudin menegaskan, terdapat pihak yang berdiam diri apabila institusi diraja dihina, namun bersuara hanya apabila ia menguntungkan agenda politik tertentu.

"Malaysia dibina atas semangat muafakat, persefahaman antara kaum dan keluhuran undang-undang, bukan atas kebencian atau ketakutan," ujar beliau.

Beliau turut menyeru rakyat menghayati Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami mukadimahnya yang menjadi asas pembentukan masyarakat bersatu padu, demokratik, adil dan progresif.

Katanya, semua pihak juga wajar meneliti Perlembagaan Persekutuan serta pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi mengelakkan sejarah negara diputar belit untuk kepentingan politik.

"Malaysia ialah negara berasaskan undang-undang dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi yang jelas memperuntukkan Malaysia sebagai Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” jelas beliau.

Tambahnya, sebarang usaha mengherotkan sejarah, menyemai kebencian kaum atau mempersoalkan kerangka Perlembagaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara.

Kerajaan Selangor, katanya, akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti digariskan pengasas negara.

"Pengorbanan terbesar dalam negara majmuk ialah keberanian menolak kebencian. Perpaduan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan," tambah beliau.

Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dan perselisihan yang semakin kerap berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Baginda bertitah, keadaan itu perlu dihentikan kerana perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri hanya akan melemahkan orang Melayu serta umat Islam di negara ini.