Pertahan Kenyataan MB, ‘PAS Memang Dah Lama Perjuangkan Islam’ - Nik Bahrum 

Politics
21 Aug 2023 • 7:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nik Bahrum Nik Abdullah - gambar fail

KUALA LUMPUR – Kenyataan dibuat Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang beberapa hari lalu sejajar dengan perjuangan PAS selama ini. 

Mempertahankan kenyataan itu, ADUN Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, PAS sedari awal penubuhan parti tidak pernah berhenti mempertahankan syiar dan nilai perjuangan Islam. 

Menurut beliau, PAS tetap memperjuangkan nilai kehidupan berlandaskan agama dan hukum agama. 

"Adapun dari segi akidah, mereka tetap Islam. Sepatutnya apabila mereka Islam, mereka kena sokong perjuangan Islam. 

"Bila PAS menang, PAS berusaha melaksanakan Islam, judi, riba, undang-undang. Tentu sekali yang menentang PAS, boleh ditebak kurang cenderung menyokong hasrat perjuangan Islam oleh PAS, sebab itu mereka pilih arah berbeza," katanya. 

 Nik Bahrum berkata demikian sebagai mengulas tindakan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang menuntut Mohd Nassuruddin membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari. 

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Mohd Nasurruddin berdepan tindakan undang-undang. 

ADUN Meranti itu ketika menyampaikan kuliah agama beberapa hari lalu melabelkan Mohd Syahbuddin dan Dr Hafidzah sebagai melawan perjuangan Islam. 

Tegas Mohd Syahbuddin, kenyataan berkenaan amat keterlaluan dan tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi negeri. 

Membalas kenyataan Mohd Syahbuddin, Mohd Nassuruddin berkata, ahli politik tidak seharusnya ‘cepat koyak’. - Getaran, 21 Ogos 2023