hamden03/11/2026 - 16:31 KUALA LUMPUR 3 Nov - Pertama Digital Bhd membayar deposit tambahan sebanyak S$799,600 (kira-kira RM3.26 juta) bagi melanjutkan tempoh penyelesaian cadangan pengambilalihan 80% kepentingan dalam D-Ron Singapore Pte Ltd dan D-Ron Malaysia Sdn Bhd sehingga 31 Disember 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, seperti dilaporkan The Edge syarikat itu berkata, lanjutan berkenaan dimeterai menerusi surat tambahan kelima yang ditandatangani pada 30 Oktober 2026.
Menerusi surat itu, vendor bersetuju melanjutkan tarikh akhir pembayaran deposit tambahan daripada 30 September kepada 30 Oktober 2026, dan Pertama Digital telah menjelaskan bayaran berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, deposit tambahan itu hanya melibatkan cadangan pengambilalihan D-Ron Singapore, manakala tiada deposit tambahan perlu dibayar bagi D-Ron Malaysia.
Sekiranya pembayaran berkenaan gagal dibuat, kedua-dua perjanjian pengambilalihan akan ditamatkan dan deposit sedia ada dilucutkan.
Sebelum ini, Pertama Digital telah membayar deposit sebanyak S$1.52 juta bagi D-Ron Singapore dan RM249,824 bagi D-Ron Malaysia.
Cadangan pengambilalihan itu pertama kali diumumkan pada 20 Jun 2025, membabitkan nilai balasan S$30.41 juta bagi 80% kepentingan dalam D-Ron Singapore dan RM5 juta bagi 80% kepentingan dalam D-Ron Malaysia.
Kedua-dua syarikat berkenaan terlibat dalam pemasangan, penyelenggaraan dan sokongan sistem pengawasan serta teknologi, selain pengedaran perkakasan teknologi maklumat dan pengawasan.
Pertama Digital pula menjalankan perniagaan berkaitan aplikasi mudah alih dan gerbang pembayaran.
Cadangan pengambilalihan itu dirancang untuk dibiayai menerusi pinjaman luar dan/atau pendahuluan pemegang saham. - DagangNews.com





