BNM lantik Ahmad Fauwaz ahli baharu dalam Majlis Penasihat Syariah

Business & Finance
30 Oct 2026 • 1:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BNM lantik Ahmad Fauwaz ahli baharu dalam Majlis Penasihat Syariah

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November 2026.

Ahmad Fauwaz yang juga Mufti Wilayah Persekutuan akan mengisi kekosongan dalam MPS susulan tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Dr. Anhar Opir pada 31 Oktober 2026.

Dengan pelantikan baharu itu, MPS akan dibarisi sembilan ahli yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan dan undang-undang.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum Syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.

“MPS memberikan sumbangan penting dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk terus memperkukuh kewangan Islam, manakala sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Dr. Anhar telah memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada MPS dengan memperkaya pertimbangan syariah melalui penguasaan beliau dalam khazanah warisan keilmuan Islam serta penghujahan syariah yang berwibawa.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen dan dedikasi beliau yang tidak berbelah bahagi serta mengalu-alukan pelantikan Ahmad Fauwaz sebagai ahli baharu MPS, dan yakin kepakaran serta pengalaman beliau akan terus memperkukuh peranan MPS dalam menyokong kemajuan kewangan Islam di Malaysia,” katanya.

MPS diterajui Pengerusinya, Datuk Dr. Ashraf Md Hashim yang merupakan Profesor Universiti INCEIF dan Timbalan Pengerusi, Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali yang merupakan Profesor Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ahli-ahli MPS terdiri daripada Perunding Syariah, Burhanuddin Lukman; Timbalan Presiden Penyelidikan Institut ISRA, Universiti INCEIF, Dr. Marjan Muhammad; Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad, Dr. Ahmad Basri Ibrahim; Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam Universiti INCEIF, Prof. Dr. Amir Shaharuddin; mantan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman dan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof. – UTUSAN

The post BNM lantik Ahmad Fauwaz ahli baharu dalam Majlis Penasihat Syariah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved