Pertama Ferroalloys labur RM200 juta bangunkan ladang buluh komersial di Sarawak

18/08/2025 - 10:08
Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pertama Ferroalloys Sdn Bhd akan melabur sebanyak RM200 juta bagi membangunkan ladang buluh komersial dalam kawasan Hutan Ladang Berlesen (LPF) di Sarawak secara berfasa untuk memperbanyakkan sumber bahan mentah tempatan.
Syarikat itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) sempena ‘Minggu Sarawak 2025’ di Osaka, Jepun minggu lalu.
Melalui kerjasama itu, STIDC akan membantu mengenal pasti kawasan LPF yang sesuai untuk penanaman buluh berskala besar, membekalkan anak benih buluh berkualiti tinggi serta menyediakan perkhidmatan teknikal dalam pengurusan sumber buluh.
MoU ditandatangani Timbalan Presiden Pertama Ferroalloys, Yuki Nakamura dan Pengurus Besar STIDC, Zainal Abidin Abdullah dengan disaksikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Setakat ini, Sarawak telah meluluskan 43 lesen LPF meliputi keluasan 2.3 juta hektar bagi projek perladangan hutan.
Projek ladang buluh itu bertujuan memenuhi keperluan bahan mentah Pertama Ferroalloys, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber import seperti arang kayu dan gabus.
Ia juga membuka peluang kepada pembangunan industri berasaskan buluh bernilai tambah bersama komuniti tempatan.
Pertama Ferroalloys yang sebelum ini dikenali sebagai AML Manganese (M) Sdn Bhd kini memiliki dan mengendalikan loji peleburan mangan dan ferroaloi di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.
Lima tahun lalu, STIDC melancarkan Pelan Induk Pembangunan Industri Buluh Sarawak 2020-2030 yang menetapkan sasaran menanam sekurang-kurangnya 20,000 hektar buluh untuk kegunaan industri dengan jangkaan hasil eksport mencecah RM200 juta menjelang 2030.
Daripada jumlah tersebut, sekurang-kurangnya 10,000 hektar akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan pemegang lesen LPF dan pemilik tanah hak adat bumiputera (NCR).
Pada masa ini, pemegang lesen LPF menanam spesies kayu komersial cepat tumbuh seperti akasia mangium dan kelapa sawit.
STIDC turut menyasarkan pembabitan komuniti melalui sekurang-kurangnya 200 projek buluh yang melibatkan pekebun kecil.
Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan pelbagai industri berasaskan buluh termasuk arang, farmaseutikal, kosmetik, tekstil, pulpa dan kertas, makanan, kraftangan serta produk kejuruteraan seperti papan lapis buluh, buluh tenun berstrata (strand woven) dan buluh berlamina berpelekat (glulam). - DagangNews.com
standard

