
Pertama Kali Berenggang, Mustafa & Rohani Akui Detik Paling Berat Tinggalkan Anak Istimewa
Dalam kegembiraan menyahut panggilan haji, pasangan suami isteri Siti Rohani dan Mustafa Yunus terpaksa membuat keputusan berat untuk meninggalkan anak istimewa mereka buat sementara.
Lebih memilukan, ini merupakan pertama kali mereka berenggang dalam tempoh 38 tahun.
Momen perpisahan itu sebelum ini menjadi tular dan menyentuh hati ramai.
Baca juga:Ketika ditemui oleh SK di Tanah Suci, Rohani, 64, dan Mustafa, 64, berkata mereka tidak menyangka bahawa rakaman video perpisahan itu menjadi tular.
Berat hati tinggalkan anak istimewa
Mengulas lanjut mengenai video pilu itu, Mustafa berkata ia merupakan momen yang sangat berat untuknya kerana sebelum ini tidak pernah berjauhan dengan anaknya yang berstatus OKU (autism severe) itu dalam tempoh yang lama.
"Kami memang rapat sangat dengan dia dan tak pernah berpisah lama dengan dia sejak kecil.
"Kalau saya bertugas out station pun, mak dia sentiasa ada untuk jaga.
"Jadi kasih sayang itu dicurahkan sepenuhnya kepada dia. Apabila nak pergi haji ini, rasa berat hati untuk meninggalkan dia sebab tempoh masa lama iaitu dalam 49 hari.
"Ini merupakan masa yang paling panjanglah dalam kehidupan kami (berenggang) sejak menjaga dia selama 38 tahun ini," katanya.

Menurutnya, di saat dia mencium anak perempuannya itu berkali-kali, timbul rasa kasihan terhadap anaknya.
"Selain daripada mak dia, dia rapat dengan saya. Saya selalu berinteraksi dengan dia. Lepas tu, peluk-peluk dia.
"Saya pun sebenarnya tak sedar momen itu dirakam. Jadi bila dah jadi tular dan tengok balik video itu jadi sedih jugalah," katanya.

Rindu pada anak
Mustafa turut meluahkan rasa rindu terhadap anaknya itu.
"Memang rindu kepada dia. Bila kena tinggalkan dia rasa sedih dan sebak dada," ujarnya.
Dalam pada itu, Rohani juga berkongsi bahawa dia sebenarnya berasa tidak yakin untuk meninggalkan anaknya ketika mendapat tawaran haji itu.
"Dapat saja tawaran haji itu, saya bagi tahu anak-anak, rasa macam tak yakin nak tinggalkan dia.
"Sebab kita tahu susah untuk dia, kadang-kadang bila kita tidur, dia tak tidur.
"Dia juga tak boleh berdikari, daripada lahir sampai sekarang dia masih pakai pampers sepenuh masa," katanya.

Bagaimanapun, Mustafa dan Rohani mengambil peluang di Tanah Suci ini memanjatkan doa agar Allah SWT memberikan yang terbaik buat anaknya.
"Kami mohon kepada Allah SWT supaya kalau ada rezeki dia, nak sembuh daripada penyakit dia itu atau berikanlah kami kesihatan yang berpanjangan untuk menjaga dia.
"Sebab kami dah 64 tahun, dia pun dah 38 tahun. Takdir yang akan menentukan. Mudah-mudahan yang terbaik untuk kita semua," katanya lagi.
Mereka juga berharap agar anak-anaknya yang lain bersabar dalam menjaga anak sulungnya buat sementara waktu.
"Untuk adik-adik yang jaga dia sementara mama dengan ayah dekat sini, bersabarlah dengan tingkah laku dia.
"Tadi adik-adik ada hubungi, memang dia tak duduk diam, menjerit. Sebab itu kami pesan untuk banyakkan bersabar," katanya.

