Tak ada SPM, ibu ini bangkit jadi peguam selepas anak didakwa kes bunuh — 'Saya belajar demi selamatkan dia'

LocalLifestyle
9 Apr 2026 • 8:55 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Tak ada SPM, ibu ini bangkit jadi peguam selepas anak didakwa kes bunuh — 'Saya belajar demi selamatkan dia'

KISAH wanita ini mengingatkan kita, ujian paling berat kadangkala bukan untuk menjatuhkan, tetapi membuka pintu yang kita sendiri tak pernah berani ketuk.

Bagi Azlina Abdul Aziz, 52, hidupnya berubah 360 darjah apabila berdepan detik paling memilukan sebagai seorang ibu, anak yang disayangi didakwa dalam kes bunuh.

Tahun 2016 menjadi garis pemisah antara kehidupan lamanya sebagai suri rumah dan versi baharu dirinya hari ini sebagai seorang peguam.

“Kalau ikutkan, saya tak pernah bayangkan pun akan jadi peguam. Dulu saya cuma suri rumah, malah tak sempat habiskan sekolah sampai SPM,” katanya jujur.

Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan di tanah rancangan Felda, Azlina sudah biasa dengan kesusahan sejak kecil.

Kehidupan yang tidak mudah, ditambah pula dengan cabaran keluarga termasuk keadaan bapanya yang berdepan masalah mental, membuatkan dia terpaksa mengorbankan pendidikan lebih awal daripada rakan sebaya.

Namun, hidup tetap berjalan. Azlina mendirikan rumah tangga pada usia muda dengan harapan ia menjadi jalan keluar daripada kesempitan hidup.

Tetapi realitinya tidak seindah disangka apabila perkahwinan itu berakhir dengan perceraian. Dia kemudian melalui fasa sebagai ibu tunggal sebelum bertemu jodoh baharu dengan lelaki warga Australia.

Sejak 2003, Azlina memulakan kehidupan baharu di luar negara sebelum kembali menetap di Malaysia pada 2010. Ketika itu, hidupnya tampak stabil sebagai suri rumah sepenuh masa, sehinggalah satu berita mengejutkan merobek ketenangan tersebut.

Image from: Tak ada SPM, ibu ini bangkit jadi peguam selepas anak didakwa kes bunuh — 'Saya belajar demi selamatkan dia'

“Saya ingatkan kes dadah, tapi bila diberitahu kes bunuh, memang dunia rasa gelap,” luahnya.

Lebih menyedihkan, anak lelakinya yang mempunyai masalah pembelajaran didakwa terlibat dalam kes tersebut.

Dari luar, anaknya kelihatan seperti individu biasa, namun hakikatnya dia memerlukan perhatian dan pemahaman yang lebih.

Dalam kekalutan emosi dan tekanan yang memuncak, Azlina tidak memilih untuk menyerah. Sebaliknya, dia mula mencari jawapan.

Dari seorang yang tidak pernah mendalami dunia undang-undang, dia perlahan-lahan membaca, memahami dan mengkaji setiap proses perbicaraan.

“Saya baca kes, cuba faham bagaimana sesuatu pertuduhan dibuktikan. Lama-kelamaan, saya mula nampak bagaimana sistem ini berjalan,” katanya.

Perjalanan berulang-alik ke penjara setiap minggu bukan sahaja menguji kekuatan mentalnya, tetapi turut membuka mata tentang realiti yang dihadapi keluarga banduan lain. Ramai yang keliru, tidak tahu prosedur, malah ada yang terkapai-kapai mencari bantuan.

Di situlah timbul rasa tanggungjawab dalam dirinya.

“Saya cuba bantu mana yang mampu. Sekurang-kurangnya mereka tak rasa keseorangan,” katanya.

Dari situ, lahir satu keberanian yang tak pernah wujud sebelum ini. Dengan dorongan rakan-rakan yang melihat potensi dalam dirinya, Azlina mengambil keputusan luar jangka, menyambung pengajian dalam bidang undang-undang.

“Mereka kata cara saya bercakap macam peguam. Dari situ saya terfikir, kenapa tidak cuba?” ujarnya.

Pengalaman hidup sebagai 'tiket'

Walaupun tanpa kelulusan SPM, Azlina tidak menjadikan itu alasan untuk berhenti. Dia menggunakan pengalaman hidup sebagai ‘tiket’ untuk memasuki universiti melalui laluan khas.

Langkah pertamanya ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) penuh debaran, malah dia sendiri tidak pasti sama ada impiannya itu realistik.

“Pegawai pun pelik tengok saya. Tapi saya datang dengan satu tekad nak belajar,” katanya.

Pada usia 43 tahun, Azlina memulakan perjalanan sebagai pelajar undang-undang. Dalam masa yang sama, dia masih setia mengikuti perkembangan kes anaknya di mahkamah.

Image from: Tak ada SPM, ibu ini bangkit jadi peguam selepas anak didakwa kes bunuh — 'Saya belajar demi selamatkan dia'

Bukan mudah membahagikan emosi, masa dan tenaga, tetapi kasih seorang ibu menjadi bahan bakar paling kuat.

“Saya belajar sebab nak bantu anak sendiri. Itu sahaja,” katanya ringkas, namun penuh makna.

Selepas hampir enam tahun menempuh proses yang panjang dan melelahkan, sinar akhirnya muncul. Pada 2022, anaknya dibebaskan daripada pertuduhan selepas didapati tidak bersalah.

“Alhamdulillah… itu detik paling saya syukuri. Lebih bermakna, dia sempat tengok saya konvo,” katanya dengan nada sebak.

Hari ini, Azlina bukan lagi wanita yang sama seperti sedekad lalu. Dia kini mengendalikan firma guamannya sendiri dengan fokus kepada kes sivil dan jenayah, bidang yang pernah menguji seluruh jiwanya.

Pengalaman sebagai bekas ‘anak guam’ menjadikan dirinya lebih empati dan memahami. Bagi Azlina, profesion ini bukan sekadar kerjaya, tetapi satu amanah.

“Saya tahu bagaimana rasanya berada di tempat mereka. Jadi saya tak mahu ambil kesempatan atas kesusahan orang. Saya nak bantu seikhlasnya,” tegasnya.

Sumber: Harian Metro 

View Original Article