
KUALA LUMPUR - Segala bentuk pertempuran dj Myanmar perlu dihentikan bagi membuka akses kepada bantuan kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serentak dengan itu, gencatan senjata di negara berkenaan perlu dilanjutkan.
Menurut beliau, perkara tersebut disuarakan pada pertemuan bersama Ketua Junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok, semalam.
“Saya turut menyatakan keperluan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua komuniti yang terjejas, tanpa mengira penjajaran politik mahupun geografi, dan beliau menyatakan komitmen terhadap perkara ini.
“Saya turut mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN, yang diketuai Dr Thaksin Shinawatra dan dianggotai tokoh-tokoh kanan serantau, sebelum mengadakan pertemuan maya dengan U Mahn Win Khaing Than daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata, hasil semua pertemuan terbabit akan dibentangkan kepada barisan pemimpin ASEAN lain untuk tindakan lanjut.
“Saya percaya usaha mewujudkan keamanan berpanjangan di Myanmar akan lebih berkesan jika digerakkan di bawah kerangka ASEAN tanpa campur tangan pihak ketiga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar pada sidang media usai lawatan rasmi dua hari ke Thailand menegaskan, kontroversi melibatkan Jalur Gemilang yang timbul beberapa hari lalu bukan perkara remeh, namun ia perlu ditangani mengikut saluran perundangan.
Tegas beliau, simbol bulan sabit yang ‘hilang’ pada imej Jalur Gemilang itu memiliki makna dan kepentingan tersendiri.
“Kedudukan Jalur Gemilang sebagai bendera negara barus dihormati dan diberi penghormatan yang sewajarnya oleh semua pihak.
“Dalam mana-mana negara, bendera merupakan simbol yang amat penting. Semua pihak perlu berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.
Isu melibatkan Jalur Gemilang mula timbul beberapa hari lalu, susulan penyiaran imej bendera terbabit tanpa simbol bulan sabit oleh akhbar Sin Chew Daily.
Susulan kejadian, seramai 42 individu, termasuk Ketua Pengarang akhbar telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada polis dan kes masih dalam siasatan.
Mengulas lanjut Anwar berkata, semua pihak perlu berlapang dada dan tidak mengambil mengambil tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan.
“Kita beri ruang kepada Sin Chew Daily untuk menjelaskan kesilapan serta mengemukakan permohonan maaf.
“Walau bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dianggap remeh. Biarlah proses undang-undang mengambil jalannya,” ujarnya. - Getaran, 18 April 2025

