Pertemuan PM Anwar-Elon Musk bincang penyertaan Space X bagi menyumbang capaian internet lebih pantas di kawasan pedalaman
zulfadli
14/07/2023 - 12:29
KUALA LUMPUR 14 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk hari ini membincangkan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman.
Anwar yang mengadakan pertemuan melalui persidangan secara maya hari ini bersama CEO Tesla Inc itu berkata, ia hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.
"Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, persidangan secara maya itu turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Musk untuk datang ke negara ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.

Anwar berkata, Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050. - DagangNews.com


