

Pertemuan Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Bersama Pemimpin SOM ASEAN
JOHOR BAHRU, 8 OGOS 2024 – Satu sesi pertemuan di antara YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Encik Satvinder Singh, pemimpin SOM ASEAN, telah diadakan bagi membincangkan dua (2) keberhasilan utama ekonomi atau Priority Economic Deliverables (PEDs) bagi sektor makanan, pertanian dan perhutanan di bawah badan sektoral Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF).
Ia untuk Kepengerusian Malaysia bagi Mesyuarat ke-45 AMAF dan juga bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, di DoubleTree by Hilton Hotel, Johor Bahru semalam. Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut adalah YBhg. Datuk Azah Hanim Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM dan pegawai-pegawai kanan KPKM.
Dalam pertemuan dua pihak ini, Sekretariat ASEAN telah berkongsi pandangan berhubung dua (2) PEDs Malaysia iaitu The Development of Outlook on Agriculture and Forestry dan the Development of Plan of Action on Food Security (2026-2030) serta membincangkan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh Malaysia untuk memperincikan kertas konsep berkenaan.

Dalam maklum balas YB Timbalan Menteri KPKM, beliau menyatakan bahawa keutamaan Malaysia dan negara anggota ASEAN adalah keterjaminan makanan di rantau ASEAN dan cabaran perubahan iklim.
Beliau memaklumkan keperluan dalam menangani cabaran tersebut yang melibatkan pengukuhan keseluruhan rantaian bekalan kepada pengguna
termasuk meningkatkan skala keupayaan pengeluaran petani-petani kecil, bersandarkan kelebihan dan kekuatan negara anggota ASEAN, serta usaha mengharmonikan pemeriksaan ke atas keselamatan makanan.

Di akhir perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berkerjasama erat di dalam membangunkan PEDs Malaysia ke arah agenda pencapaian keterjaminan makanan di rantau ASEAN.
YB Timbalan Menteri KPKM turut merasmikan Majlis Makan Malam bagi meraikan para delegasi sempena penganjuran Mesyuarat SSOM-45th AMAF dan Mesyuarat-Mesyuarat Lain Berkaitan pada 6 hingga 8 Ogos 2024 di Johor Bahru.
The post Pertemuan Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Bersama Pemimpin SOM ASEAN appeared first on Siakap Keli.

