
MANILA – Duta China ke Manila menyatakan bahawa Beijing boleh ‘menang mudah’ dalam konflik dengan Filipina, namun ia tidak akan pernah memilih jalan kekerasan, kenyataan disifatkan Manila sebagai ‘ancaman tersirat.’
Beijing menuntut hampir kesemua Laut China Selatan walaupun tribunal antarabangsa memutuskan tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.
Kapal Filipina serta China pula terlibat dalam konfrontasi berulang kali sejak beberapa tahun lalu, dengan sesetengahnya mengakibatkan pelanggaran dan kecederaan.
Kenyataan beliau dibuat sehari selepas ketua pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro, melabelkan Beijing sebagai ‘pengacau’ serantau.
“Kita sepatutnya berasa bertuah kerana mempunyai jiran seperti China di rantau ini.
“Jika kami mahu menggunakan kekerasan, kami boleh menang dengan mudah. Tetapi tidak, kami tidak akan memilih kekerasan dan kami cintakan kedamaian,” kata Duta China, Jing Quan kepada wartawan tempatan di Manila semalam selepas berucap di sebuah sekolah di Manila.
Dalam maklum balas lewat semalam, Kementerian Luar Filipina kesal dengan kenyataan tersebut yang disifatkan ‘tidak membantu’, memandangkan hubungan rumit antara kedua-dua negara.
“Sangat dikesali kerana Duta China Jing Quan hari ini (semalam) membuat pilihan kata-kata lemah yang seolah-olah menyampaikan ancaman tersirat mengenai penggunaan kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Laksamana Muda Jay Tarriela sebelum ini menggelar kenyataan Jing sebagai ‘ancaman langsung’. – AFP
The post China ‘menang mudah’ jika berperang dengan Filipina appeared first on Kosmo Online.





