Pertikaian pengasas bersama Supermax selesai, Cheryl Tan terima RM37 juta manakala Stanley Thai RM32.5 juta

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 5:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertikaian pengasas bersama Supermax selesai, Cheryl Tan terima RM37 juta manakala Stanley Thai RM32.5 juta Image from: Pertikaian pengasas bersama Supermax selesai, Cheryl Tan terima RM37 juta manakala Stanley Thai RM32.5 juta hamden10/11/2026 - 17:28

KUALA LUMPUR 10 Nov - Pertikaian undang-undang antara pengasas bersama Supermax Corporation Bhd, Datuk Cheryl Tan Bee Geok dan suaminya yang telah berpisah, Datuk Seri Thai Kim Sim (Stanley Thai), berhubung proses gulung tikar Sunimax Development Sdn Bhd (SDSB) akhirnya diselesaikan menerusi perintah persetujuan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.

 

Menurut laporan The Edge, menerusi penyelesaian itu, Tan akan menerima RM37.03 juta, manakala Thai memperoleh RM32.54 juta berdasarkan hutang yang direkodkan dalam akaun beraudit syarikat setakat 31 Disember 2025.

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Fadhilah Nor Wan Idris merekodkan perintah persetujuan berkenaan, sekali gus menyelesaikan petisyen Tan untuk menggulung SDSB.

 

Mengikut terma penyelesaian, SDSB akan melupuskan keseluruhan hartanah miliknya bagi menjelaskan hutang tertunggak kepada pemiutang dan pemegang saham syarikat.

 

SDSB diwajibkan melantik sama ada Knight Frank Malaysia atau Jones Lang Wootton dalam tempoh 30 hari bagi menilai hartanah berkenaan, sebelum proses tender dilaksanakan untuk mendapatkan nilai pelupusan tertinggi.

 

Agihan ikut keutamaan

Hasil pelupusan aset itu akan diagihkan mengikut susunan keutamaan yang ditetapkan dalam perintah persetujuan.

 

Keutamaan pertama adalah untuk menjelaskan semua kos dan perbelanjaan berkaitan penjualan hartanah, termasuk yuran profesional, cukai serta pendahuluan berkaitan hartanah.

 

Seterusnya, pembayaran hutang berdasarkan akaun beraudit setakat 31 Disember 2025 akan dibuat, termasuk RM37.03 juta kepada Tan dan RM32.54 juta kepada Thai.

 

Sebarang lebihan selepas itu akan digunakan untuk menjelaskan hutang kepada pemiutang lain, termasuk Supermax Realty Sdn Bhd sebanyak RM1.46 juta dan Supermax Holdings Sdn Bhd sebanyak RM8.77 juta.

 

Selain itu, sebanyak RM300,000 akan dibahagikan sama rata antara Tan dan Thai, manakala sebarang baki akhir akan diagihkan kepada pemegang saham berdasarkan pegangan masing-masing.

 

SDSB ditubuhkan sebagai syarikat pemegang aset milik Thai dan Tan dengan pegangan masing-masing sebanyak 50%.

 

Tan sebelum ini mendakwa SDSB bergantung kepada syarikat induknya, Supermax Property Management Sdn Bhd (SPMSB), untuk mendapatkan sokongan kewangan, selain menggunakan dana bagi aktiviti pelaburan termasuk pengambilalihan tanah.

 

Struktur pegangan saham SDSB menunjukkan SPMSB memiliki 700,000 saham, manakala Senzen Mastery Sdn Bhd memegang baki 300,000 saham.

 

Tan memfailkan petisyen gulung tikar terhadap SDSB berdasarkan hutang RM37.03 juta yang terhutang kepadanya selaku pengarah syarikat itu, mengikut Seksyen 465(1)(e) Akta Syarikat 2016.

 

Thai kemudiannya memohon untuk mencelah dalam prosiding penggulungan berkenaan, namun permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu.

 

Kedua-dua mahkamah memutuskan bahawa Thai tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mencelah dalam prosiding berkenaan kerana beliau bukan pemiutang atau pemegang saham SDSB.

 

Tan diwakili S Ravenesan dan Dhrrithi Patel daripada Tetuan S Ravenesan, manakala SDSB diwakili Peter Neik, Chris Chin Shang Yoon, Nicholas Chia dan Shanice Teo daripada Tetuan Shang & Co.

 

Senzen Mastery Sdn Bhd pula diwakili Mark Ho Hing Kheong. Sementara itu, prosiding perceraian antara Tan dan Thai masih belum selesai di Mahkamah Keluarga. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved