Pertikaian Peribadi, Hubungan Cinta Jadi Punca Pembunuhan Pelajar IPTS

24 Jun 2026 • 3:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pertikaian Peribadi, Hubungan Cinta Jadi Punca Pembunuhan Pelajar IPTS

KUALA LUMPUR - Polis percaya pertikaian peribadi berkaitan aspek emosi dan kewangan menjadi punca pembunuhan seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang merupakan lelaki warga asing, kedua-duanya dipercayai berusia lingkungan 20-an, telah lama berkenalan dan menjalinkan hubungan.

“Pada peringkat ini, kami percaya motif kejadian berpunca daripada masalah peribadi yang melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini. 

Menurut beliau, siasatan kini tertumpu kepada suspek warga asing yang ditahan di lokasi kejadian sejurus selepas mayat mangsa ditemukan.

“Setakat ini, tiada petunjuk yang menunjukkan penglibatan individu lain dalam kejadian tersebut. 

“Bagaimanapun, polis tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan selesai sepenuhnya,” katanya.

Shazeli berkata, polis turut merampas beberapa bahan bukti termasuk senjata yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

"Hasil pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa,” katanya.

Pihak penyiasat juga sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berkenaan mengenai tempoh pengajian mangsa, program akademik yang diikuti serta bentuk hubungan mangsa dengan suspek.

“Setakat ini, kami telah merakam keterangan beberapa jiran dan saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.03 pagi semalam, sebelum menemukan mayat seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an di dalam kondominium berkenaan dengan pelbagai kecederaan pada badan.

Suspek yang ketika itu berada di lokasi kejadian turut ditahan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 24 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved