
KUALA LUMPUR - Konflik melibatkan keluarga suspek ketika kedua-dua individu sedang mengambil dadah dikenal pasti sebagai motif utama pembunuhan seorang lelaki, yang mayatnya ditemukan dibalut dengan tilam dan tangan berikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, Melaka baru-baru ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penemuan itu diperoleh hasil siasatan lanjut dan soal siasat terhadap suspek lelaki berusia 40 tahun yang kini direman bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, mangsa dipercayai merupakan rakan kepada suspek.
“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pertengkaran susulan salah faham dan tuduh-menuduh yang melibatkan keluarga suspek, ketika kedua-dua mereka sedang mengambil dadah,” katanya.
Dzulkhairi berkata, identiti mangsa masih belum dapat disahkan sepenuhnya dan proses pengecaman saintifik sedang dijalankan menerusi perbandingan sampel DNA dengan ahli keluarga mangsa.
Katanya, polis kini meneruskan siasatan dari pelbagai sudut bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan V Somsundram di talian 017-6954714 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan reput yang dibalut dengan tilam dan kedua tangan berikat di dalam sebuah rumah kedai di Pokok Mangga.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan sebelum ditemukan, berdasarkan tahap pereputan mayat, sehingga menyukarkan proses pengecaman identiti dilakukan serta-merta. - Getaran, 1 Jun 2026




