SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tular berkaitan pertikaian urusan pengurusan dan pengebumian seorang jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada Khamis.
Wakil Pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam memaklumkan bahawa semua penjelasan berhubung isu tersebut telah diserahkan kepada JAIS untuk tindakan serta kenyataan lanjut.
“Kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak JAIS untuk memberikan penjelasan rasmi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan berlaku pertikaian dalam urusan pengurusan jenazah sehingga proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana tertangguh lebih sejam.
Menerusi hantaran tular itu, sebuah badan kebajikan mendakwa telah menguruskan jenazah atas permintaan waris, namun timbul isu berkaitan permit pengebumian serta dakwaan caj RM1,400 yang dikatakan dikenakan oleh pihak pengurusan masjid.
Hantaran itu turut mendakwa proses pengebumian hanya dapat diteruskan selepas wakil pengurusan masjid hadir di tanah perkuburan tersebut.
Bagaimanapun, Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada JAIS.





