amree29/05/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Mei — Peningkatan kes rumah sewa dijadikan pusat Bitcoin haram, pelacuran, penyimpanan barang curi dan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) semakin membimbangkan.
Perkembangan tersebut mengakibatkan pemilik rumah berisiko disiasat pihak berkuasa atau dikenakan tindakan walaupun mereka memang tidak mengetahui kegiatan penyewa yang menyalahi undang-undang.
Susulan itu, Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA) menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan dan penguatkuasaan Akta Sewaan Kediaman (RTA) bagi melindungi hak pemilik rumah.
Presidennya, Prakash P Kalivanan berkata, ramai pemilik kediaman menyewakan hartanah mereka dengan niat baik dan bergantung kepada pendapatan sewaan untuk memenuhi komitmen kewangan secara bulanan.
“Pemilik rumah tidak sepatutnya menjadi mangsa tindakan undang-undang akibat kesalahan dilakukan penyewa yang menjalankan aktiviti haram tanpa pengetahuan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, di bawah peruntukan semasa, pemilik hartanah boleh berdepan siasatan jika pihak berkuasa mendapati mereka mengetahui aktiviti haram atau gagal mengambil langkah pencegahan wajar.

Sehubungan itu ujar Prakash, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu segera memperkenalkan RTA yang komprehensif tanpa sebarang kelewatan bagi menjamin hak pemilik kediaman.
Katanya, akta itu penting bagi menetapkan tanggungjawab jelas kepada semua pihak selain membantu mengurangkan pertikaian serta memperkukuh mekanisme penguatkuasaan dalam pasaran sewaan rumah.
"Pada masa sama, NHRA mengingatkan pemilik rumah mengambil langkah perlindungan asas termasuk menyediakan perjanjian sewaan bertulis dan dimatikan setem yang melarang aktiviti haram," ujarnya.
Prakash menjelaskan, pemilik rumah juga digalakkan supaya membuat semakan latar belakang penyewa termasuk pengesahan sebarang dokumen pengenalan rasmi diri sebelum menyerahkan kunci rumah mereka.
Selain itu katanya, pemeriksaan berkala ke atas premis selepas notis munasabah diberikan kepada penyewa juga perlu dilaksanakan bagi memastikan rumah digunakan untuk tujuan kediaman yang sah.
Beliau turut menegaskan penyimpanan dokumen seperti salinan kad pengenalan penyewa, rekod bayaran sewa dan komunikasi bertulis amat penting bagi membuktikan pemilik rumah itu bertanggungjawab.
“Jika ada aktiviti mencurigakan, pemilik rumah berkenaan perlu segera melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan implikasi undang-undang lebih serius,” tegas Prakash. - DagangNews.com



