
SANDAKAN: Program pertukaran selama dua hari antara delegasi sebuah universiti Taiwan dan pihak berkepentingan di Sabah membuka ruang baharu kerjasama dalam penyelidikan perhutanan, kelestarian serta pembangunan industri.
Lawatan tersebut difasilitasi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Papat Alex Thien Ching Qiang dan diselaraskan oleh Persatuan Kerjasama Pendidikan Bakat Malaysia dan Industri-Akademia (M-TEIA).
Delegasi berkenaan diketuai Profesor Madya Dr Chih-Hsin Chung, Pengerusi Jabatan Perhutanan dan Sumber Asli NIU bersama Profesor Dr Tzu-Cheng Chang, Profesor Madya Dr Pei-Yu Kuo, penyelidik pascasiswazah Jia-Tsung Cheng, Pengerusi M-TEIA Pang Thou Chong serta Penyelaras Projek Pang Sheau Chyan.
Delegasi tersebut pada 18 Jun melawat Kilang Minyak Sawit Wilmar di kawasan Sapi bagi mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai industri sawit Sabah termasuk inisiatif tenaga boleh diperbaharui, amalan pengeluaran mampan dan aplikasi ekonomi kitaran.
Dalam lawatan itu Pengurus Besar Operasi Kilang Wilmar Ir Lo Yee Hang memberi taklimat mengenai pembangunan sektor sawit Sabah, trend industri semasa, sistem pengeluaran serta strategi kelestarian.
Delegasi turut dibawa melawat kemudahan pemprosesan kilang serta mengadakan perbincangan dengan wakil pelbagai jabatan mengenai penyelidikan, inovasi dan peluang kerjasama masa depan.
Antara topik utama yang dibincangkan ialah potensi penggunaan hasil sampingan biojisim daripada industri sawit khususnya tandan buah kosong (EFB) dan tempurung isirung sawit (PKS).
Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai kemungkinan mengekstrak sebatian bernilai daripada efluen kilang sawit (Pome) melalui penyelidikan lanjutan dan inovasi teknologi bagi menghasilkan produk nilai tambah tinggi di samping menyokong matlamat kelestarian.
Sementara itu Alex berkata industri sawit Sabah kekal sebagai salah satu tonggak ekonomi negeri yang menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Seiring dengan peralihan industri ke arah automasi, pendigitalan dan transformasi hijau, permintaan terhadap bakat berkemahiran, inovasi penyelidikan dan pengurusan mampan semakin meningkat.
“Kerjasama antara universiti, institusi penyelidikan dan pemain industri amat penting dalam membangunkan tenaga kerja masa depan serta memacu kemajuan industri,” katanya.
Pada 19 Jun delegasi itu melawat Pusat Penyelidikan Perhutanan (FRC) di mana mereka disambut oleh Timbalan Ketua Konservator Hutan (Penyelidikan dan Pembangunan) Dr Arthur Chung, Ketua Program Hasil Hutan dan Produk (FPP) Zamrie Imiyabir serta pegawai-pegawai program berkenaan.
Lawatan dimulakan dengan sesi pembentangan kedua-dua pihak yang menampilkan institusi masing-masing, aktiviti penyelidikan semasa serta bidang kepakaran.
Perbincangan turut tertumpu kepada penyelidikan perhutanan, inovasi saintifik, pembangunan bakat, pengurusan karbon, pendidikan kelestarian serta potensi kerjasama masa depan.
Delegasi kemudiannya melawat beberapa kemudahan penyelidikan dan makmal di bawah Seksyen Kimia dan Fitokimia serta Seksyen Sains dan Utilisasi Kayu.
Antara kemudahan yang dilawati termasuk kilang papan, bengkel kayu dan unit pertukangan, makmal ujian kayu, xylarium, makmal anatomi kayu serta makmal pelepasan formaldehid. Mereka juga berkesempatan melawat Skywalk RDC.
Alex berkata hutan hujan tropika Sabah yang diiktiraf di peringkat global serta biodiversiti yang kaya memberi kelebihan unik dalam bidang pemuliharaan hutan, pengurusan sumber asli, penyelidikan penyerapan karbon dan kajian ekologi.
“Dengan peningkatan perhatian global terhadap perlindungan alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan mampan, pengukuhan penyelidikan saintifik, pembangunan bakat serta kerjasama antarabangsa menjadi semakin penting.
“Sabah dan Taiwan berkongsi banyak kepentingan dalam penyelidikan perhutanan, pengurusan sumber asli, tadbir urus karbon dan pendidikan kelestarian sekali gus membuka potensi besar untuk kerjasama masa depan,” jelasnya.
Beliau menambah pertukaran akademik seperti ini bukan sahaja meningkatkan persefahaman antara institusi dan industri malah membuka peluang kepada projek penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan penyelidik, latihan teknikal, latihan industri serta pemindahan teknologi.






