
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berada pada sekitar lima peratus tahun ini, disokong prestasi sektor semikonduktor, pembuatan serta keadaan ekonomi domestik yang terus berkembang.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, unjuran itu mengambil kira perkembangan semasa ekonomi termasuk kadar inflasi yang kekal terkawal pada 1.8 peratus bagi Julai.
Katanya, kestabilan inflasi dan pertumbuhan ekonomi yang baik memberi ruang kepada kerajaan untuk memastikan keadaan ekonomi terus stabil, selain membantu menjaga kuasa beli rakyat.
“Kita ambil maklum beberapa negara yang mengekalkan kadar dasar masing-masing untuk tempoh selanjutnya. Ketika ini, kita perlu melihat keseluruhan keadaan ekonomi.
“Sementara kita menunjukkan asas pertumbuhan yang agak baik, kita juga mengambil maklum kadar inflasi bagi Julai sekitar 1.8 peratus. Jika dinilai secara keseluruhan, perkara itu memberikan kestabilan dari segi dasar monetari,” katanya kepada pemberita selepas sesi EIC Connect bertajuk “Masa Depan Sudah Tiba – Gas Adalah Destinasi” sempena Pameran dan Persidangan Minyak dan Gas Asia 2026 (OGA 2026) di sini hari ini.
Menurut beliau, pendekatan fiskal kerajaan juga akan terus memainkan peranan dalam memastikan kos sara hidup rakyat berada pada tahap sederhana.
Katanya, pengumuman kerajaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk terus menyokong rakyat, manakala kerangka seterusnya akan diperincikan menerusi Belanjawan yang dijangka dibentangkan pada Oktober.
“Pertumbuhan yang kita nikmati ini perlu dinilai dari segi kesannya kepada masyarakat secara umum dan bagaimana ia membolehkan kerajaan terus memberi sokongan serta ruang kepada rakyat berhadapan dengan kos sara hidup,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan tenaga, Akmal berkata, permintaan terhadap gas dijangka terus meningkat memandangkan bahan api berkenaan dilihat sebagai sumber penting dalam proses peralihan tenaga negara.
Katanya, Malaysia kekal komited untuk mengembangkan kapasiti penjanaan kuasa, dengan gas dijangka terus menjadi antara sumber tenaga asas bagi memenuhi keperluan masa hadapan.
Sehubungan itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur gas bagi memastikan bekalan mencukupi untuk menyokong pertumbuhan permintaan.
“Keperluan gas akan menjadi antara sumber asas tenaga kita untuk masa hadapan. Jadi, kita mengembangkan infrastruktur gas untuk penjanaan kuasa.
“Itulah sebabnya dalam perancangan infrastruktur gas, kita mengembangkan RG3 di Lumut bagi membolehkan lebih banyak bekalan gas menjadi sebahagian daripada keperluan tenaga kita pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau berkata, penetapan OPR perlu dibuat dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.
“Dari segi OPR, sudah pasti itu tanggungjawab BNM. Dari segi dasar monetari, itu adalah pertimbangan yang perlu dibuat oleh pihak Bank Negara.
“Cuma, di peringkat kerajaan, kita melihat keadaan pertumbuhan yang berlaku dengan baik di peringkat negara membantu supaya ekonomi ini terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Ekonomi turut menilai ruang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan untuk jangka sederhana dan panjang.
Menurutnya, sektor semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E) antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi baru-baru ini dan dijangka terus berkembang.
“Sememangnya industri ini dijangka akan terus memberi pertumbuhan, termasuk sektor pembuatan dan sebagainya.
“Jadi, di peringkat kerajaan, kita menilai bagaimana pertumbuhan ekonomi ini dapat dikekalkan, terutama apabila kita mensasarkan pertumbuhan sekitar empat hingga lima peratus bagi 2026.
“Dengan keadaan yang ada sekarang, kita yakin pertumbuhan akan berada sekitar lima peratus,” katanya. – UTUSAN
The post Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sekitar lima peratus tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.





