Minyak, gas kekal penting dalam peralihan tenaga Malaysia

Business & Finance
3 Sep 2026 • 4:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Minyak, gas kekal penting dalam peralihan tenaga Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan peralihan tenaga secara terurus bagi memastikan agenda peralihan kepada sistem tenaga lebih bersih dapat dicapai tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan bekalan tenaga negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, dalam tempoh tersebut, minyak dan gas dijangka terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, khususnya dalam memastikan bekalan tenaga kekal stabil ketika Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.

“Gas asli pula dijangka kekal sebagai komponen utama dalam campuran tenaga primer negara sehingga 2050, sekali gus menjadikannya antara sumber penting dalam menyokong proses peralihan tenaga.

“Selain menyokong penjanaan elektrik, gas asli turut memainkan peranan dalam aktiviti perindustrian dan membantu memastikan kebolehpercayaan sistem tenaga ketika kadar penggunaan tenaga boleh baharu dipertingkatkan.

“Pendekatan itu membolehkan Malaysia meningkatkan penembusan tenaga boleh baharu secara berperingkat, sambil mengekalkan sumber tenaga yang fleksibel bagi memenuhi permintaan elektrik dan keperluan industri,” katanya dalam ucaptama mengenai ‘Keselamatan tenaga Malaysia dalam landskap tenaga yang berubah dengan pesat’  sempena Pameran dan Persidangan Gas dan Minyak (OGA) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Akmal, bagaimanapun, kebergantungan berlebihan kepada mana-mana satu sumber tenaga boleh meningkatkan risiko terhadap keselamatan dan kestabilan bekalan negara.

“Sehubungan itu, Malaysia perlu mengambil pendekatan seimbang dengan mempelbagaikan sumber tenaga dan pada masa sama memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu bagi menyokong matlamat jangka panjang negara.

“Peralihan tenaga yang terurus juga penting bagi memastikan transformasi sektor tenaga tidak berlaku secara mendadak sehingga memberi tekanan kepada ekonomi, industri dan pengguna,” katanya. 

Menerusi Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), sebanyak RM21 juta di bawah Geran Pembangunan  industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) telah disalurkan kepada 97 projek, manakala, 25 projek yang dikomersialkan antara 2023 hingga 2025 berjaya menjana RM77.5 juta dalam nilai jualan dan kontrak.

“Namun, pembangunan teknologi perlu diseiring dengan pengukuhan bakat serta keupayaan syarikat tempatan.

“Malaysia memerlukan jurutera, juruteknik dan syarikat yang mampu beroperasi merentasi sektor tenaga konvensional, teknologi digital serta sistem tenaga baharu. Pada masa sama, penyertaan syarikat tempatan perlu diperkukuh menerusi akses kepada pembiayaan, teknologi, peluang perolehan dan pasaran antarabangsa.

“Banyak keupayaan yang dibangunkan dalam sektor minyak dan gas juga boleh dimanfaatkan dalam bidang penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen, kerja penyahaktifan kemudahan minyak dan gas serta aktiviti tenaga baharu yang sedang berkembang,” katanya.

Menurut Akmal, syarikat OGSE Malaysia kini sudah mula berkembang melangkaui pasaran domestik.

Katanya, kira-kira 600 syarikat telah difasilitasi bagi pertumbuhan eksport dan pembangunan teknologi, sekali gus menjana lebih RM2 bilion dalam jualan eksport OGSE menerusi program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Perkembangan itu membuktikan syarikat Malaysia sememangnya mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Langkah seterusnya adalah untuk memperkukuh lagi keupayaan tersebut dan membawa syarikat tempatan ke segmen bernilai lebih tinggi dalam rantaian nilai tenaga serantau dan global.

“Persoalannya bukan lagi sama ada industri OGSE akan berubah, sebaliknya sama ada syarikat Malaysia mempunyai keupayaan untuk menerajui perubahan tersebut,” katanya. – UTUSAN

The post Minyak, gas kekal penting dalam peralihan tenaga Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved