
PRINSIP pembangunan mampan akan terus diterapkan di negeri ini untuk menyokong inisiatif pertumbuhan hijau, dalam usaha mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi agar lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan memastikan kejayaan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju dan mampan.
“SDG adalah paksi penting dalam semua perancangan dan dasar bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar.
“Bagi mencapai semua matlamat itu, kita perlu komited untuk melakukan beberapa langkah, pertama mengamalkan prinsip ekonomi kitaran iaitu sentiasa berusaha memanjangkan hayat produk-produk yang digunakan dengan berhemah melalui berkongsi, guna semula, perbaiki, dan mengitar semula.
SPONSORED CONTENT Mengalum for world’s first net zero carbon island resort Taiwan’s Sinyi Group is on track to unveil the world’s first unique net zero carbon island resort on Mengalum Island. . Read more “Kedua, mengambil peluang sepenuhnya perubahan dan kemajuan teknologi digital, robotik dan dron. Ini seperti penghutanan semula secara besar-besaran dan boleh dilakukan dengan menggunakan dron,” katanya.
Ketua Menteri itu berkata langkah ketiga ialah peluang mendapatkan kualiti pendidikan melalui pendidikan atas talian dan keempat, penyertaan menyeluruh dari semua lapisan masyarakat adalah amat penting.
“Menerusi langkah keempat ini, kita harus terus mendidik dan mengasuh setiap individu tentang konsep kemampanan. Kesedaran disiplin, komitmen dan gaya hidup harus diasuh supaya sikap dan tindakan setiap dari kita adalah konsisten dan akur dengan SDG,” katanya ketika merasmikan penutupan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia Peringkat Wilayah Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 25 Januari.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM144.44 juta untuk melancarkan pelbagai aktiviti dan inisiatif tahun ini bagi mencapai pembangunan seimbang, dengan mengambil kira elemen kelestarian hijau di Sabah.
“Saya juga berharap inisiatif untuk menyelaraskan pembangunan sosioekonomi di Sabah dengan SDG akan diteruskan dengan bersungguh-sungguh. Semoga hasil persidangan ini dapat membantu penggubal dasar, pihak berkepentingan, individu, masyarakat dan orang ramai untuk lebih peka terhadap isu SDG.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya berasa bangga kerana persidangan ini turut memberi ruang kepada agensi kerajaan negeri Sabah untuk membentangkan beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan, antaranya melindungi biodiversiti dan ekosistem hutan serta pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan melalui Sistem Tagal,” katanya.
Menurutnya, sering dilaporkan melalui media bahawa isu mampan telah menjadi dilema manusia iaitu untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi yang pesat dan ketekunan global bagi memenuhi matlamat pembangunan mampan.
“Pertembungan agenda ini menjadikan usaha untuk ‘mencapai keseimbangan’ agak mencabar bagi kebanyakan orang, kumpulan, wilayah dan negara. Kerosakan dan bencana alam berlaku kerana sifat mementingkan diri dan ketamakan kebanyakan manusia yang lupa untuk memelihara dan mewariskannya kepada generasi seterusnya.
“Kecuaian manusia tidak bertanggungjawab menyebabkan kita dilanda bencana dan krisis berturut-turut. Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk menjayakan agenda SDG,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


