Pertumbuhan Oriental Kopi diyakini kukuh disokong peningkatan permintaan pelanggan - HLIB

LocalBusiness & Finance
27 May 2025 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan Oriental Kopi diyakini kukuh disokong peningkatan permintaan pelanggan - HLIB

image is not available

27/05/2025 - 12:49

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 27 Mei - Oriental Kopi Holdings Bhd diyakini terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, didorong kekuatan jenama, peluasan cawangan dan permintaan pengguna yang semakin bertambah.

Hong Leong Investment Bankl (HLIB) Research berkata, kumpulan itu kini mempelbagaikan tawaran produknya termasuk pelancaran menu baharu dan pengenalan produk berbungkus bagi memperluaskan asas pelanggan serta memperkukuh kehadirannya.

Firma penyelidikan itu berkata, inisiatif strategik seperti pembangunan ibu pejabat baharu, dapur pusat dan gudang serta peluasan ke pasaran domestik dan luar negara adalah menjanjikan, namun memerlukan masa untuk direalisasikan sepenuhnya.

"Kemudahan operasi baharu di Selangor yang dijangka siap pada suku keempat 2026 bakal meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong inovasi produk," katanya dalam satu nota kajian.

Oriental Kopi turut bekerjasama dengan pengedar luar negara bagi memperkenalkan jenamanya ke pasaran antarabangsa.

Strategi peluasan yang berdisiplin dan tertumpu kepada lokasi dengan trafik tinggi terus membezakan syarikat daripada pesaing serta memperkukuh komitmennya terhadap kualiti dengan meletakkan kumpulan pada landasan pertumbuhan mampan jangka panjang.

Syarikat turut mencatatkan hasil RM103.2 juta dan keuntungan bersih RM14.7 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), menjadikan jumlah untung bersih teras bagi separuh pertama tahun ini mencecah RM28.2 juta.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyatakan keputusan tersebut lebih rendah daripada jangkaan firma itu dan unjuran pasaran, masing-masing hanya mencapai 44% dan 46%.

Dari suku tahun ke suku tahun (QoQ), hasil kumpulan meningkat 6% kepada RM103.2 juta, didorong oleh prestasi lebih kukuh daripada segmen rangkaian kafe serta pengedaran dan runcit makanan berbungkus.

Peningkatan itu disumbangkan oleh kunjungan pelanggan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina serta cawangan baharu yang dibuka.

Segmen rangkaian kafe kekal sebagai penyumbang utama hasil, menyumbang RM96.4 juta (93%), diikuti jualan makanan berbungkus RM6.4 juta (6%) dan sumber hasil lain RM0.4 juta (0.4%).

Untung bersih teras meningkat 9% QoQ kepada RM14.7 juta.

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" ke atas Oriental Kopi dengan harga sasaran lebih rendah iaitu 76 sen berbanding 81 sen sebelum ini.- DagangNews.com

standard