Untung bersih Elridge Energy pada 1QFY25 naik kepada RM13.58 juta disokong permintaan kukuh bahan api biojisim

27/05/2025 - 15:42
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 27 Mei – Untung bersih Elridge Energy Holdings Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) meningkat kepada RM13.58 juta, disokong permintaan kukuh terhadap bahan api biojisim mampan di pasaran Jepun, Indonesia, dan Malaysia.
Syarikat itumerekodkan hasil RM109.67 juta dan untung sebelum cukai RM18.03 juta bagi tempoh berkenaan, selepas mengambil kira cukai RM4.45 juta.
Kumpulan yang baru disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Ogos 2024 tidak mempunyai angka perbandingan suku sama tahun sebelumnya memandangkan tiada laporan kewangan.
Produk utama, kulit isirung sawit (PKS) menyumbang RM95.81 juta atau 87.36% daripada hasil keseluruhan, manakala segmen perdagangan dan pembuatan pelet kayu menjana RM13.87 juta atau 12.64%.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo berkata, prestasi itu mencerminkan daya tahan model perniagaan syarikat dalam memenuhi permintaan global terhadap bahan api biojisim.
"Kami terus mengekalkan momentum positif pasca penyenaraian dan menyampaikan pertumbuhan pendapatan sejajar strategi jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Coherent Market Insights mengunjurkan pasaran PKS Asia Pasifik berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 8.9% daripada AS$308.6 juta (RM1.4 bilion) pada 2024 kepada AS$366.1 juta (RM1.7 bilion) menjelang 2026. Pasaran pelet kayu pula dijangka berkembang pada CAGR 8.6%, mencecah AS$12.5 bilion (RM57.1 bilion) menjelang 2026.
Oliver berkata, pihaknya sedang membina tiga kemudahan baharu di Pasir Gudang, Kuantan, dan Lahad Datu, masing-masing akan menempatkan dua barisan pengeluaran PKS dengan kapasiti tahunan 240,000 tan metrik setiap satu.
"Langkah ini akan mengukuhkan bekalan jangka panjang dan memperkukuh kedudukan kami dalam rantaian nilai biojisim serantau.
"Sejumlah RM68.14 juta daripada dana IPO telah diperuntukkan untuk pembangunan fasiliti tersebut sebagai sebahagian pelan pertumbuhan syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Dengan asas kewangan kukuh, permintaan antarabangsa yang meningkat dan strategi peluasan yang menyeluruh, Elridge Energy berada pada kedudukan terbaik mencipta nilai jangka panjang dan menyumbang kepada agenda nyahkarbon global.- DagangNews.com
standard

