Pertumbuhan pinjaman CIMB dianggar susut kepada 2% disebabkan kelemahan sentimen perniagaan, tekanan mata wang - UOBKH

28/07/2025 - 11:16
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 Julai - Pertumbuhan pinjaman CIMB Group Holdings Bhd dianggar menyusut kepada 2% berbanding unjuran awal sebanyak 5% disebabkan kelemahan sentimen perniagaan dan tekanan mata wang, kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Berdasarkan kadar pertukaran mata wang, pertumbuhan pinjaman kumpulan CIMB adalah sekitar 4%, tidak mencapai sasaran pengurusan antara 5% hingga 7%. Pertumbuhan pinjaman kumpulan yang dilaporkan adalah lebih lemah, sekitar 2%, berikutan pengukuhan ringgit.
"Pihak pengurusan memaklumkan, semakan saluran bersama pelanggan menunjukkan sentimen perniagaan kekal berhati-hati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
"Kami menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman kami daripada 5% kepada 2%, bagi mencerminkan kelemahan pinjaman perniagaan dan kesan mata wang," katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun pengurusan CIMB mengekalkan unjuran margin faedah bersih (NIM) bagi tahun 2025 dengan penyusutan sebanyak lima mata asas (bps) — dengan andaian hanya satu pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25bps, UOBKH meramalkan penyusutan yang lebih besar sebanyak tiga mata asas, dengan jangkaan dua pemotongan OPR tahun ini.
Dari segi sensitiviti, setiap pemotongan kadar sebanyak 25bp dianggarkan akan mengecilkan NIM kumpulan sekitar dua mata asas setahun, kata UOB.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pendapatannya bagi tahun 2025 hingga 2027 lebih rendah antara 1% hingga 2%, dan mengurangkan harga sasaran saham kepada RM7.52 daripada RM7.70.
“Kami melihat profil risiko dan ganjaran yang seimbang, dengan pertumbuhan sederhana yang diimbangi oleh hasil dividen menarik sebanyak 5.5%.
"Selain itu, pegangan saham asing CIMB yang agak tinggi iaitu 33.8% berbanding purata lima tahun sebanyak 28% boleh mengehadkan potensi kenaikan harga saham sekiranya ketidaktentuan makroekonomi berterusan di tengah-tengah rundingan tarif yang sedang berlangsung,” kata UOBKH, yang mengekalkan saranan “pegang” terhadap saham tersebut.
Saham CIMB telah merosot lebih 16% setakat tahun ini, dipengaruhi kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan potensi risiko kemelesetan.
Meskipun begitu, kebanyakan penganalisis kekal positif terhadap saham tersebut, disebabkan oleh pendedahan langsung bank yang terhad terhadap isu tarif.
Firma penyelidikan itu berkata, pinjaman berkaitan perdagangan menyumbang kurang daripada 5% daripada jumlah pinjaman kumpulan, manakala pelanggan yang terdedah kepada eksport ke Amerika Syarikat (AS) hanya merangkumi antara 3% himgga 5%.
Menurut data Bloomberg, 17 penganalisis memberikan saranan “beli” terhadap CIMB, manakala tiga memberi penarafan “pegang”, dengan harga sasaran konsensus 12 bulan sebanyak RM8.25. - DagangNews.com
featured standard
