KDNK diramal menyederhana kepada 4% sekiranya tarif AS sebanyak 25% kekal - CIMB Securities

21/07/2025 - 10:48
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 Julai - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramal menyederhana kepada 4% tahun ini sekiranya tarif Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25% kekal pada 1 Ogos ini, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu yang mengekalkan unjuran asas pertumbuhan KDNK sebanyak 4.3% bagi 2025, berkata risiko penurunan utama berpunca daripada potensi kelembapan dalam permintaan luaran.
Eksport Malaysia susut sebanyak 3.5% tahun ke tahun pada Jun, meneruskan penurunan 1.2% pada Mei dan meleset daripada jangkaan pasaran untuk pemulihan.
Katanya, kelemahan itu adalah menyeluruh, diterajui penghantaran yang lebih lemah bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk berasaskan minyak sawit dan eksport logam, di samping kejatuhan ketara dalam eksport minyak mentah dan gas asli cecair (LNG).
Eksport pembuatan jatuh 3.3% pada Jun, dipengaruhi oleh pertumbuhan E&E yang perlahan kepada 1.3% berbanding tujuh peratus pada Mei. Eksport perlombongan merosot 28.7%, manakala penghantaran hasil pertanian meningkat 17.5% didorong eksport minyak sawit yang lebih kukuh.
CIMB Securities berkata, eksport ke AS meningkat hanya 4.7% pada bulan Jun berbanding lonjakan 16.1% pada Mei. p
Penghantaran ke Taiwan meningkat 14.2% berbanding 41.4% sebelum ini, manakala eksport ke Korea Selatan mencatatkan penyusutan kepada -13.5%.
"Penghantaran ke rakan dagang serantau utama turut melemah. Eksport ke China merosot 9.3% tahun ke tahun, manakala eksport ke ASEAN jatuh 13.8 peratus.
"Eksport ke Kesatuan Eropah dan Hong Kong juga menunjukkan penyederhanaan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, lebihan dagangan Malaysia melebar kepada RM8.6 bilion pada Jun apabila import turut perlahan, meningkat 1.2% berbanding tahun lalu, berbanding 6.6% pada Mei.
Penyederhanaan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kelembapan dalam import barangan modal, walaupun import barangan penggunaan dan perantaraan menunjukkan sedikit pemulihan.
Bagi separuh pertama 2025, ekonomi berkembang sebanyak 4.4%, menurun daripada 5% dalam tempoh yang sama tahun lalu.
CIMB Securities mengekalkan unjuran KDNK bagi sepanjang tahun pada kadar 4.3%, namun memberi amaran, hasil rundingan tarif antara AS dan Malaysia boleh mempengaruhi arah aliran tersebut.
“Kelestarian momentum perdagangan dan pelaburan selepas tempoh penangguhan tarif AS selama 90 hari masih belum pasti,” katanya. - DagangNews.com
standard

