Pertumbuhan sektor pembuatan diramal stabil disokong perkembangan teknologi, kata Kenanga

13/05/2025 - 10:56
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 13 Mei - Pertumbuhan sektor pembuatan domestik diramal kekal stabil disokong perkembangan teknologi yang sedang berlangsung ketika ini, kata Kenanga Research.
Keadaan itu dapat dilihat menerusi pengeluaran dan eksport terkini dalam sektor teknologi.
Katanya, permintaan domestik dilihat akan turut menyokong pertumbuhan, didorong pasaran buruh yang stabil, sokongan kerajaan serta peningkatan kehadiran pelancong.
Firma penyelidikan itu berkata, pada Mac 2025, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) meningkat sebanyak 3.2% dan ia merupakan paras tertinggi dalam tiga bulan dan melepasi jangkaan ahli ekonomi.
"Prestasi yang lebih kukuh ini terutamanya disumbangkan pemulihan dalam sektor perlombongan, yang mengimbangi pertumbuhan sederhana dalam segmen pembuatan.
"Peningkatan output perlombongan ini disokong oleh pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, pertumbuhan sektor pembuatan kekal sederhana disebabkan permintaan global yang bercampur-campur dengan komponen pembuatan merangkumi bahagian besar sebanyak 65.9% daripada IPI.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan sektor pembuatan pada 2025 kepada 4.7% (buat masa ini.
“Ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat kekal sebagai risiko utama. Walaupun ia berpotensi memberi kesan negatif, ia juga boleh menguntungkan sesetengah pengeksport jika pemisahan ekonomi antara AS dan China terus mendalam,” katanya.
Bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), unjuran bagi tahun 2025 dikekalkan pada 4.8%, sementara menunggu kejelasan mengenai dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan hasil rundingan perdagangan dalam tempoh jeda 90 hari ini.
Bagaimanapun, permintaan domestik yang stabil dijangka akan menyokong pertumbuhan keseluruhan, dipacu pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.- DagangNews.com
standard


