Pertumbuhan sektor runcit dijangka kekal berdaya tahan disokong pasaran buruh kukuh - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2025 • 9:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan sektor runcit dijangka kekal berdaya tahan disokong pasaran buruh kukuh - MBSB Research

image is not available

01/10/2025 - 09:57

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Pertumbuhan sektor runcit dijangka kekal berdaya tahan, disokong keadaan pasaran buruh yang kukuh, inflasi terkawal serta langkah fiskal bersasar, menurut MBSB Research.

Katanya, penyesuaian gaji dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan terus mengukuhkan kuasa beli isi rumah.

Firma penyelidikan itu berkata, subsidi bersasar untuk petrol RON95, yang memasuki fasa pelaksanaan penuh meliputi semua rakyat Malaysia akan memperluaskan skop bantuan melebihi kategori berasaskan pendapatan sebelum ini.

"Langkah ini serta penciptaan pekerjaan yang berterusan serta keadaan pembiayaan yang lebih longgar selepas pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka mengukuhkan sentimen dan mengekalkan perbelanjaan sehingga akhir tahun," katanya dalam satu nota kajian.

MBSB Research berkata, perdagangan runcit Malaysia meningkat 5.6% tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM67.01 bilion pada Julai 2025, dipacu pertumbuhan lebih kukuh dalam kedai khusus lain, bahan api automotif di kedai khusus serta sektor makanan, minuman dan tembakau.

Selain itu, pertumbuhan pekerjaan meningkat kepada 3.1% y-o-y, terus mengatasi pertumbuhan tenaga kerja pada kadar 2.8%, menunjukkan penciptaan pekerjaan yang berdaya tahan serta permintaan buruh yang mampan.

Pasaran buruh kekal stabil dengan kadar pengangguran tidak berubah pada 3%, menekankan gabungan keadaan pekerjaan yang kukuh dan inflasi sederhana sebagai faktor yang terus menyokong kuasa beli sebenar isi rumah serta penggunaan domestik yang stabil.

MBSB Research berkata, pihaknya lebih menyukai Fraser & Neave Holdings (F&N), Aeon Co (M) Berhad dan Life Water Berhad, masing-masing dengan harga sasaran RM32.08, RM1.77 dan RM1.11 sesaham.

Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan Spritzer Berhad kepada “neutral”, manakala memberikan saranan “jual” terhadap Nestle (M) Berhad dan Oriental Kopi Holdings Berhad selepas kenaikan harga saham baru-baru ini.

Secara keseluruhan, ia kekal positif terhadap prospek sektor pengguna, disokong oleh asas makro yang kukuh, dasar mesra pengguna dan pemacu permintaan berstruktur.

MBSB Research menegaskan sifat defensif sektor pengguna melalui barangan keperluan menawarkan daya tahan, sekaligus meletakkan syarikat berkaitan pengguna untuk terus mencatatkan prestasi walaupun dalam pasaran global yang tidak menentu. - DagangNews.com

standard