Prospek sektor pengguna kekal positif, disokong asas kukuh serta pemulihan sektor pelancongan - MBSB Research

30/09/2025 - 09:47
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 30 Sept - Prospek sektor pengguna diramal kekal positif didorong asas makroekonomi yang kukuh, dasar kerajaan serta peningkatan perbelanjaan hasil pemulihan sektor pelancongan, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan sektor itu akan terus mencatatkan pertumbuhan mampan dalam kategori barangan keperluan, runcit, makanan dan minuman (F&B) serta perbelanjaan keperluan walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global.
Katanya, di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan kerangka Ekonomi MADANI, beberapa inisiatif mesra rakyat dijangka mengekalkan kuasa beli isi rumah, termasuk kenaikan gaji minimum dan pelaksanaan gaji sara hidup untuk kakitangan GLC/GLIC, subsidi bersasar bagi petrol RON95, penangguhan kenaikan tol, pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak -25 mata asas sebelum ini.
Selain itu ia digabungkan dengan pasaran buruh yang stabil, inflasi sederhana, serta lonjakan pelancong ASEAN dan China, sektor pengguna dijangka kekal berdaya tahan.
"Pengukuhan nilai ringgit dan penurunan kos input dijangka mengurangkan tekanan kos, sekali gus meningkatkan ketelusan pendapatan syarikat. Ini menjadikan sektor pengguna sebagai pilihan defensif yang masih mempunyai potensi pulangan," katanya dalam satu nota kajian.
MBSB Research berkata, kehadiran semula pelancong asing dijangka memberi lonjakan struktur kepada sektor pengguna, khususnya dalam segmen barangan pengguna pantas (FMCG), runcit mudah dan perbelanjaan gaya hidup.
Katanya, peningkatan trafik di lapangan terbang, pusat beli-belah dan lokasi tumpuan pelancong dijangka melonjakkan permintaan bagi minuman botol, snek serta restoran.
Firma penyelidikan itu berkata, kedatangan pelancong China kekal kukuh susulan pelaksanaan dasar pengecualian visa, sekali gus menegaskan peranan China sebagai pemacu utama pertumbuhan di samping pasaran ASEAN.
"Dinamik ini mencerminkan keberkesanan usaha promosi pelancongan Malaysia dan sedang diterjemahkan kepada limpahan ekonomi yang lebih meluas merangkumi sektor runcit, F&B, penginapan, serta pelancongan budaya.
"Dengan jumlah kedatangan berada pada landasan menuju sasaran kerajaan sebanyak 31.4 juta pelancong bagi sepanjang tahun, sektor ini terus mengukuhkan peranannya sebagai tonggak utama permintaan domestik menjelang Visit Malaysia 2026. - DagangNews.com
standard

