
LIMA: Peru mengumumkan keputusan memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Kementerian Luar Peru berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan komitmen bersejarah Peru terhadap keamanan, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta usaha mempertahankan demokrasi.
Peru mendakwa pihaknya semakin bimbang dengan kemerosotan nilai-nilai demokrasi di Iran, sambil merujuk kepada penindasan terhadap demonstrasi aman, sekatan terhadap kebebasan media, diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan serta penganiayaan terhadap penentang politik.
Peru turut menyuarakan kebimbangan terhadap gangguan perdagangan antarabangsa melalui Selat Hormuz sejak Mac lalu, sambil memberi amaran mengenai kemungkinan kesannya terhadap harga tenaga dan rantaian bekalan global.
“Peru menolak hasutan Iran terhadap keganasan dan peningkatan konflik di Asia Barat, serta tindakannya menghalang kerja Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” katanya.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan ketenteraan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) kembali memuncak, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan yang semakin meningkatkan ketidakstabilan di Asia Barat serta kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan melalui Selat Hormuz.
Walaupun memutuskan hubungan diplomatik, Peru berkata, hubungan konsular akan terus dikekalkan bagi melindungi kepentingan serta rakyat kedua-dua negara, selaras dengan konvensyen Vienna yang berkaitan.
Keputusan itu disampaikan kepada Iran menerusi nota diplomatik melalui kedutaannya di Ecuador, yang turut berfungsi sebagai misi serentak Iran ke Peru.-AGENSI
The post Peru putus hubungan diplomatik dengan Iran akibat ketegangan di Asia Barat appeared first on Utusan Malaysia.



