AS-Iran didesak henti serangan, kembali ke meja rundingan – PM

WorldPolitics
2 Sep 2026 • 5:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS-Iran didesak henti serangan, kembali ke meja rundingan – PM

PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) dan Iran didesak agar menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan kembali kepada usaha diplomasi serta persefahaman yang dicapai pada Jun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia melahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan semula ketegangan antara kedua-dua negara yang disifatkan berisiko mengheret lebih banyak negara di Asia Barat ke dalam konflik yang semakin buruk.

Beliau berkata, pertukaran serangan terbaru yang turut merebak ke negara-negara lain di rantau berkenaan juga dilihat mengancam untuk mencetuskan konflik lebih besar dan membawa kemusnahan yang lebih dahsyat.

“Saya amat bimbang dengan peningkatan semula ketegangan antara AS dan Iran.

“Dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada perang serantau yang lebih meluas.Konflik ini akhirnya hanya boleh diselesaikan melalui kaedah politik dan diplomatik,”katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Kedua-dua negara terbabit sebelum ini berbalas serangan secara langsung buat kali pertama dalam tempoh sebulan, sekali gus meningkatkan ketegangan dalam konflik geopolitik yang selama ini mengakibatkan kebuntuan ekonomi.

Iran dilapor melancarkan peluru berpandu pada waktu malam ke arah dua pangkalan udara AS di Jordan, sebagai tindak balas terhadap serangan AS terhadap Pulau Larak, Iran.

Washington pula memaklumkan pihaknya membedil pelancar milik Iran yang digunakan untuk melancarkan periuk api di Selat Hormuz.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pihak yang mempunyai kapasiti terbesar untuk mempengaruhi perkembangan konflik mempunyai tanggungjawab khusus untuk mengamalkan sikap sederhana dan mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.

Katanya, kedaulatan negara lain tidak seharusnya diketepikan dalam usaha menyelesaikan konflik berkenaan.

“Pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk membentuk perkembangan keadaan mempunyai tanggungjawab khusus untuk mengamalkan sikap menahan diri dan menghalang peningkatan ketegangan selanjutnya.

“Kedaulatan negara lain tidak boleh diketepikan,” katanya.

Anwar berkata, tiada matlamat ketenteraan yang boleh menghalalkan tindakan mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas.

Beliau turut memberi amaran bahawa langkah ekonomi yang membebankan orang awam serta menghalang usaha diplomatik berisiko memburukkan lagi krisis, bukannya menyelesaikannya. – UTUSAN

The post AS-Iran didesak henti serangan, kembali ke meja rundingan – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved