Perubahan caj perkhidmatan penumpang positif buat Malaysia Airports - RHB Investment

LocalBusiness & Finance
13 Mar 2024 • 10:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perubahan caj perkhidmatan penumpang positif buat Malaysia Airports - RHB Investment

herman

13/03/2024 - 10:14

KUALA LUMPUR 13 Mac - Walaupun caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi kategori transfer atau pemindahan bakal diperkenalkan 1 Jun ini, namun pendapatan Malaysia Airports bakal diimbangi dengan pengurangan kadar PSC antarabangsa melangkaui ASEAN untuk semua lapangan terbang selain daripada Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut RHB Investment Bank, selain pengenalan PSC transfer yang disifatkan kejutan positif, caj perkhidmatan penerbangan (ASC) juga disemak semula dengan caj tempat letak pesawat dan pendaratan yang lebih tinggi.

Baaimanapun kata firma penyelidikan itu, secara umumnya ia diimbangi oleh pengurangan PSC bagi kategori lain terutamanya PSC Antarabangsa di lapangan terbang lain.

"Harga sasaran Malaysia Airports dinaikkan kepada RM9.67 sesaham kerana kami menjangkakan ASC yang lebih tinggi dalam RP2 dan seterusnya.

"Kami mengekalkan pendirian positif terhadap Malaysia Airports dalam sektor ini, berdasarkan perkembangan positif yang diketengahkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB Investment pada masa sama berkata, berikutan kemas kini kepada ASC, unjuran pendapatan tahun kewangan (FY) FY24-26F untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diturunkan 1-8%.

Sementara itu, kata firma penyelidikan itu, seperti yang digariskan dalam Kertas Perundingan Kedua (CP2), MAVCOM ditetapkan untuk melaksanakan Mekanisme Permodalan Kerugian (LCM) semasa Tempoh Kawal Selia (RP) 1, berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.

"Mekanisme ini akan dibahagikan kepada dua fasa yang berbeza: fasa "Pengumpulan Kerugian/Keuntungan" ( RP1) dan fasa "Pemulihan Kehilangan/Bayar Balik" (RP2).

"Dengan LCM, Malaysia Airports akan berpeluang memulihkan 90% daripada sebarang kerugian kawal selia yang ditanggung semasa RP1 dalam tempoh sehingga 10 tahun, bermula pada tahun 1 RP2.

"Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ini akan membolehkan MAHB meneruskan pelaburan yang diperlukan, peningkatan perkhidmatan dan usaha pembangunan lapangan terbang," ujarnya.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) semalam mengumumkan pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) untuk Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula dari 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.

PSC domestik dikekalkan RM11 bagi memastikan harga yang berpatutan buat penumpang manakala pengurangan PSC antarabangsa melangkaui ASEAN untuk semua lapangan terbang selain daripada KLIA.

Bagi KLIA2 dan lapangan terbang lain, yang kebanyakannya merupakan penerbangan jarak dekat, PSC pelepasan antarabangsa ditetapkan pada RM50. Kadar ini lebih rendah daripada kadar yang ditetapkan bagi KLIA 1, iaitu pada RM73.

Di samping itu, MAVCOM turut memperkenalkan PSC pindahan (transfer) di semua lapangan terbang.-DagangNews.com