Untuk menangani perubahan iklim yang semakin teruk, dunia mesti beralih secara berperingkat daripada pertanian perindustrian (industrial agriculture) kepada organik.
Pertanian Perindustrian merupakan salah satu punca utama perubahan iklim, menyumbang sebanyak 44% ke 57% daripada jumlah pelepasan GHG (gas rumah hijau). Ini disebabkan penebangan hutan, kebergantungan terhadap baja kimia, dan penternakan intensif. Kawasan hutan amat luas harus ditebang bagi ladang-ladang monokultur yang menghasilkan tanaman bagi tujuan komersial.
Berkenaan baja kimia pula, apabila nitrogen dalam baja tersebut terdedah kepada tanah, tindak balas kimia oleh mikrob menjana nitrus dioksida, yang adalah 300 kali lebih kuat daripada karbon dioksida (CO2) dalam pemanasan atmosfera. Bagi aspek penternakan pada skala perindustrian, pemberian makanan kaya dengan protein kepada ternakan sebalik daripada rumput menghasilkan jumlah baja besar. Baja ini membebaskan GHG apabila berlakunya penguraian.
Selain itu, penggunaan traktor dan mesin pengairan dalam pertanian perindustrian memerlukan minyak untuk berfungsi, sementara pengangkutan produk makanan berjarak jauh menggunakan banyak lagi minyak. Semua ini turut menyumbang kepada pelepasan GHG yang besar tersebut.
Kira-kira 50% pencemaran atmosfera dikaitkan dengan GHG (CO2, nitrogen oksida, dan metana) yang berpunca daripada sistem makanan berasaskan perindustrian dan globalisasi. Sistem ini bertanggungjawab untuk antara 25% dan 40% daripada jumlah CO2 yang berlebihan dalam atmosfera Bumi pada masa kini. Ladang-ladang berskala besar dan berjentera di negara-negara utara dunia menggunakan kira-kira 2.5 kali jumlah tenaga untuk menghasilkan satu tan bijiran berbanding ladang-ladang kecil di negara-negara selatan, dan lebih tiga kali tenaga untuk setiap hektar.
Bagi menangani perubahan iklim secara lebih efektif, kita perlu beralih daripada pertanian perindustrian kepada organik. Dalam pertanian organik, baja berasaskan bahan bakar fosil serta kebanyakan racun perosak sintetik adalah dilarang. Ini mengurangkan jejak karbon secara ketara dalam amalan pertanian organik.
Data daripada beberapa kajian yang membandingkan beribuan ladang di seluruh Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pertanian organik menghasilkan kandungan karbon organik tanah yang lebih tinggi kestabilannya serta pelepasan nitrus oksida lebih rendah dibandingkan dengan pertanian konvensional. Tambahan pula, beberapa kajian mendapati bahawa penyingkiran baja nitrogen sintetik saja dalam amalan pertanian sedunia dapat menurunkan pelepasan langsung GHG sebanyak kira-kira 20%.
Suatu kajian oleh Rodale Institute (US) selama 40 tahun menunjukkan bahawa ladang-ladang organik menggunakan 45% jumlah tenaga kurang berbanding ladang-ladang konvensional sementara mengekalkan ataupun malah melebihi hasil selepas tempoh peralihan lima tahun. Satu perbandingan baru-baru ini di Filipina mendapati pertanian organik adalah 63% lebih cekap tenaga daripada pertanian konvensional, sementara menghasilkan jumlah hasil sama.
Petani kecil dapat bercucuk tanam secara produktif tanpa penggunaan bahan kimia dengan mempelbagaikan sistem-sistem tanaman, mengintegrasikan tanaman dan ternakan, dan menggabungkan pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan liar. Dengan adanya lebih biodiversiti dan biojisim, tumbuhan tersebut berupaya menyerap lebih banyak karbon dan nitrogen daripada atmosfera, dan pelepasan serta kandungan bahan pencemar dalam udara dapatlah dikurangkan.
Dengan sistem pertanian organik, penghasilan makanan diorientasikan semula terhadap pasaran tempatan dan makanan segar. Ini menyingkirkan kebanyakan pelepasan GHG oleh sistem makanan disebabkan perdagangan makanan sedunia.
Untuk menangani isu produktiviti rendah dengan pertanian organik, para petani boleh mengguna pakai baja bio (biofertilisers) atau menggabungkan baja bio dengan baja organik.
Baja bio adalah kos efektif, mesra alam, dan penggunaannya secara berpanjangan mempertingkatkan kesuburan tanah secara ketara. Ia juga dapat meningkatkan hasil tanaman sebanyak 10–40% dengan meningkatkan tahap protein, asid amino penting, vitamin, dan proses penukaran nitrogen (nitrogen fixation) dalam tanah. Selain itu, baja bio mungkin dapat meningkatkan kadar penghasilan makanan dan menjadikan produk ladang lebih selamat bagi para pengguna.
Inisiatif memperluaskan amalan pertanian organik harus dipacu oleh komuniti-komuniti tempatan dengan bantuan serta subsidi oleh kerajaan masing-masing bagi mengurangkan beban proses peralihan. Perladangan besar-besaran tanaman komoditi perindustrian pula harus diperkecilkan. Polisi iklim mesti menangani bukan sahaja pelepasan gas rumah hijau, tetapi amalan memudaratkan oleh sistem pertanian perindustrian juga.
Peralihan kepada pertanian organik haruslah menyasarkan negara-negara dengan kebergantungan paling tinggi terhadap pertanian perindustrian bagi memaksimumkan keberkesanan usaha menentang krisis iklim yang melanda dunia kita.
Namun begitu, kebanyakan negara pada masa sekarang masih bergantung tinggi terhadap pertanian perindustrian. Oleh itu, ia berhemah untuk melaksanakan proses peralihan ini secara berperingkat. Pendekatan sebegini adalah amat penting untuk menganalisa impak langkah peralihan pada setiap peringkat bagi mengelakkan apa-apa krisis makanan serta sosio-ekonomi.
Terima kasih kerana membaca artikel saya dan sila kongsikan pendapat anda kat ruang komen! Jika anda berminat baca artikel saya yang lain, sila klik di sini.
Raveen (raveen.veerasenan@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.



