Air: Keperluan Perak diutamakan dahulu sebelum lebihan dibekal kepada Pulau Pinang - Exco

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Air: Keperluan Perak diutamakan dahulu sebelum lebihan dibekal kepada Pulau Pinang - Exco Image from: Air: Keperluan Perak diutamakan dahulu sebelum lebihan dibekal kepada Pulau Pinang - Exco hamden14/10/2026 - 12:26

KUALA LUMPUR 14 Okt – Kerajaan negeri Perak akan mengutamakan keperluan air domestik, perindustrian dan pertanian negeri itu sebelum menyalurkan sebarang lebihan bekalan kepada Pulau Pinang menerusi Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) selama 40 tahun.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kemampanan bekalan air negeri berkenaan, terutama ketika permintaan dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.

 

Beliau berkata, permintaan air Perak dianggarkan sebanyak 1,500 juta liter sehari, merangkumi kegunaan domestik, perindustrian dan pertanian, termasuk penanaman padi.

 

“Keperluan air Perak akan diutamakan. Kami hanya akan mempertimbangkan pembekalan air ke Pulau Pinang sekiranya terdapat lebihan selepas memenuhi keperluan domestik, perindustrian dan pertanian negeri ini,” katanya kepada Bernama.

 

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 bahawa Kerajaan MADANI telah memudah cara perjanjian BWSA selama 40 tahun antara kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang.

 

Perjanjian yang dimeterai antara Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu menyasarkan penghantaran awal air terawat pada suku pertama 2032.

 

Menurut Nizar, projek berkenaan turut menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), yang semakin berkembang sebagai destinasi pelaburan baharu, khususnya dalam sektor digital.

 

Katanya, KIGIP mendapat manfaat daripada limpahan pertumbuhan industri digital dari Pulau Pinang, manakala jaminan bekalan air yang boleh dipercayai dijangka meningkatkan keyakinan pelabur untuk menubuhkan dan mengembangkan perniagaan di Perak.

 

Selain menyokong pembangunan industri, bekalan air yang stabil juga dapat membantu menangani gangguan bekalan di kawasan perindustrian Kamunting serta Tasik Bukit Merah di Kerian, yang menjadi sumber air penting bagi kegunaan pertanian dan domestik.

 

Nizar berkata, projek berskala besar itu turut berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada KAP, mewujudkan peluang pekerjaan dan membolehkan pengurusan paras air Tasik Bukit Merah dilaksanakan secara lebih sistematik.

 

Pengurusan paras air yang lebih baik juga dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya pesawah dan nelayan darat di sekitar tasik berkenaan, dengan membantu mengurangkan risiko kemarau.

 

“Komuniti setempat, khususnya pesawah dan nelayan darat di sekitar Tasik Bukit Merah, turut mendapat manfaat daripada pengurusan paras air tasik yang lebih baik, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemarau,” katanya. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved