
KUALA LUMPUR - Sebarang perubahan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan selepas ini hanya dibuat untuk mengisi kekosongan portfolio sedia ada.
Menafikan ia adalah rombakan besar-besaran, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rombakan besar-besaran tidak sesuai dilakukan memandangkan tempoh pentadbiran yang semakin singkat.
“Kabinet hanya mempunyai lebih kurang setahun setengah lagi untuk berkhidmat, jadi saya tidak percaya rombakan besar-besaran diperlukan.
“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan, itu sahaja,” katanya kepada media selepas pelancaran kenderaan elektrik pertama Perodua, QV-E hari ini.
Kabinet Kerajaan Perpaduan setakat ini memiliki tiga kekosongan selepas peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Kedua-duanya melepaskan jawatan masing-masing susulan kekalahan dalam pemilihan parti PKR.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula dikosongkan oleh Datuk Ewon Benedick pada 8 November lalu, selepas isu berkaitan hak 40 peratus Sabah terhadap hasil bersih persekutuan dari negeri itu yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Esok, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula akan menamatkan tempohnya sebagai Senator, sekali gus menamatkan tugasnya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Tiga lagi menteri turut menamatkan penggal pertama sebagai Senator Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Nenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menegaskan, keutamaan segera kerajaan adalah untuk mengisi semua jawatan penting tersebut dan bukan melakukan perubahan besar.
“Saya sedang mempertimbangkan langkah yang perlu diambil, tetapi mengisi kekosongan adalah perlu,” katanya.
Kenyataan Perdana Menteri itu menggambarkan pendekatan berhati-hati terhadap pengurusan Kabinet, mengutamakan kestabilan dan kesinambungan pentadbiran berbanding percaturan politik ketika kerajaan semakin menghampiri tempoh akhir penggal. - Getaran, 1 Disember 2025


