Pada Oktober 2024, Samsung telah mengumumkan bahawa mereka adalah syarikat pertama untuk menghasilkan cip memori GDDR7 dengan kapasiti 24Gb. Terkini, memori tersebut sudah akhirnya sedia untuk pengeluaran secara besar-besaran untuk sektor kad grafik pengguna, pusat data dan AI.
Memori GDDR7 oleh Samsung sebelum ini hadir dengan kapasiti 16Gb ataupun ~2GB untuk setiap keping memori dengan kelajuan penghantaran data 28Gbps dan 32Gbps. Memori ini sebelum ini dapat dilihat digunakan pada kad grafik seperti NVIDIA GeForce RTX 5000 terbaru NVIDIA.

Dengan penawaran modul terbaru ini, setiap keping memori GDDR7 terbaru hadir dengan kapasiti 3GB, yang membolehkannya digunakan dengan pelbagai jenis kad grafik berkuasa hari ini. Sebagai contoh, sebuah kad grafik 512-bit boleh dipasang dengan 96GB memori GDDR7 ini, manakala kad grafik 256-bit pula boleh memuatkan sehingga 24GB memori.

Samsung mengesahkan bahawa cip GDDR7 mereka yang sudahpun memasuki fasa pengeluaran besar-besaran ini hadir dengan kelajuan penghantaran data 28Gbps dan kini sedang menguji pengeluaran memori 24Gb dengan kelajuan penghantaran data 32 dan 36Gbps.
Secara teknikalnya, cip-cip ini dilihat cukup besar dan pantas untuk digunakan pada penawaran kad-kad grafik seperti NVIDIA RTX 6000 Pro dan NVIDIA GeForce RTX5090 tanpa masalah. Malah, terdapat ura-ura yang sudah hadir bahawa NVIDIA mungkin akan menggunakan penawaran memori ini pada siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 Super yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.



