Perunding IT rugi RM1.5 juta terjerat pelaburan kripto

LocalBusiness & Finance
1 Jun 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Perunding IT rugi RM1.5 juta terjerat pelaburan kripto

SHAH ALAM, 1 JUN: Perunding teknologi maklumat (IT) kerugian hampir RM1.5 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto yang dipromosikan dalam media sosial.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata mangsa yang merupakan lelaki berusia 63 tahun tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, kelmarin.

Menurut beliau, mangsa mula tertarik dengan pelaburan tersebut selepas melihat iklan berkaitan mata wang kripto yang menawarkan pulangan lumayan pada Disember 2023.

“Kerana berminat, mangsa menekan pautan pada iklan pelaburan itu sebelum berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Azizee berkata suspek kemudian menawarkan pelaburan jual beli mata wang kripto Dolar Amerika Syarikat dan mengajak mangsa menyertai sebuah kumpulan WhatsApp yang memberi penerangan berkaitan pelaburan tersebut.

Beliau berkata mangsa seterusnya diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan sebelum mula membuat pemindahan wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek.

“Antara Mac 2024 hingga September 2024, mangsa melakukan sembilan transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank milik syarikat yang diberikan suspek, berjumlah lebih RM1.49 juta,” katanya.

Menurut Azizee, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan serta modal yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan ke akaun peribadinya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari wang yang dilaburkan tidak dapat diperoleh semula.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

View Original Article