Peruntukan bukan untuk Ahli Parlimen tetapi rakyat

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 3:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peruntukan bukan untuk Ahli Parlimen tetapi rakyat

ALOR GAJAH: Peruntukan kawasan Parlimen bukan hak eksklusif Ahli Parlimen semata-mata, sebaliknya disediakan bagi memastikan keperluan dan kepentingan rakyat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak menyekat peruntukan untuk wakil rakyat, sebaliknya dana berkenaan akan disalurkan terus kepada pihak yang memerlukan termasuk sekolah, sekolah agama, madrasah, masjid serta projek membaiki kemudahan awam.

“Tak ada sekatan. Tak payah bagi kepada Ahli Parlimen, bagi kepada rakyat.

Yang penting apa? Peruntukan untuk siapa? Untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat? Jadi soalnya, peruntukan itu harus pada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin, di sini, hari ini.

Perdana Menteri mengulas isu berkenaan menjadi perhatian sejak Mei dan Jun lalu apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan mendakwa mereka tidak lagi mempunyai akses kepada portal MyKhas, iaitu sistem berkaitan permohonan peruntukan kawasan.

Antara Ahli Parlimen yang dilaporkan membangkitkan perkara itu ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Mengulas perkara itu, Anwar menafikan berlaku sekatan terhadap peruntukan kepada wakil rakyat, sebaliknya menegaskan kerajaan mengambil pendekatan memastikan dana tersebut sampai terus kepada penerima dan keperluan sebenar di sesuatu kawasan.

Menurut beliau, peruntukan yang disediakan kerajaan tidak semestinya perlu diserahkan kepada Ahli Parlimen untuk diagihkan, sebaliknya boleh disalurkan terus kepada institusi dan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kalau peruntukan ada RM2 juta, RM2 juta kepada rakyat, pada sekolah, sekolah agama, masjid, longkang baiki… itu semua kita akan lakukan,” katanya.

Anwar berkata, pendekatan berkenaan bukan perkara baharu kerana dasar tersebut telah dilaksanakan sejak dahulu dan diketahui sendiri oleh Ahli Parlimen yang pernah berada dalam kerajaan.

“Dasar itu terpakai sejak dulu. Semasa mereka Ahli Parlimen dulu mereka tahu. Sekarang, dia menentang. Jadi bila dia menentang, kita salurkan terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan kemudahan dan keperluan rakyat tidak terjejas walaupun berlaku perbezaan pandangan politik antara kerajaan dengan wakil rakyat di sesuatu kawasan.

“Sekolah, sekolah agama, madrasah, masjid, tandas yang rosak, longkang… semua diluluskan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan persoalan utama dalam isu peruntukan kawasan Parlimen ialah siapa yang akhirnya menerima manfaat daripada dana tersebut, bukannya sama ada wang berkenaan disalurkan melalui Ahli Parlimen atau sebaliknya.

“Peruntukan itu harus pada rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang melepaskan jawatan berkenaan semalam, Anwar berkata anaknya itu masih kekal aktif dalam parti.

Menurut Perdana Menteri, Nurul Izzah buat masa ini mempunyai komitmen terhadap satu program khas di luar parti untuk tempoh tertentu.

“Dia ada program khas di luar sekejap. Jadi saya kata tidak mengapa dan kita boleh terima dengan baik. Tetapi dia masih aktif dalam parti,” katanya. – UTUSAN

The post Peruntukan bukan untuk Ahli Parlimen tetapi rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved