
KUALA LUMPUR - Peruntukan kawasan diwujudkan untuk memberi manfaat kepada rakyat, bukan sebagai hak eksklusif atau milik peribadi Ahli Parlimen.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah menyekat penyaluran peruntukan kepada mana-mana kawasan.
Menurut beliau, dana berkenaan sebaliknya akan disalurkan terus kepada projek dan institusi yang benar-benar memerlukan, termasuk sekolah, sekolah agama, masjid serta kemudahan awam.
“Peruntukan itu untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat? Peruntukan mesti sampai kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah hari ini.
Isu berhubung peruntukan kawasan kembali menjadi perhatian selepas beberapa Ahli Parlimen kerajaan pada Mei dan Jun lalu mendakwa mereka tidak lagi mempunyai akses kepada sistem MyKhas, platform yang digunakan bagi mengemukakan permohonan peruntukan kawasan.
Antara yang membangkitkan perkara itu ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Bagaimanapun, Anwar menafikan dakwaan bahawa kerajaan menyekat penyaluran peruntukan.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan menyalurkan dana secara terus kepada projek dan institusi berdasarkan keperluan masyarakat setempat.
“Kalau ada RM2 juta, RM2 juta itu disalurkan kepada rakyat, sama ada untuk sekolah, sekolah agama, masjid, membaiki longkang dan pelbagai kemudahan lain. Itulah pendekatan yang kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu bukanlah sesuatu yang baharu, malah Ahli Parlimen yang pernah berada dalam kerajaan sebelum ini juga mengetahui dasar tersebut.
“Dasar ini sudah lama dilaksanakan. Ketika mereka menjadi Ahli Parlimen kerajaan dahulu, mereka tahu mengenainya. Sekarang mereka berada di pihak pembangkang, jadi kita salurkan terus kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri memberi jaminan, kerajaan akan terus meluluskan projek melibatkan kemudahan asas tanpa mengira perbezaan politik antara kerajaan Persekutuan dan Ahli Parlimen yang mewakili sesuatu kawasan.
Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih sekolah, madrasah, masjid, tandas awam serta sistem perparitan akan terus diberi perhatian.
“Persoalannya bukan sama ada peruntukan itu melalui Ahli Parlimen atau disalurkan terus kepada rakyat, tetapi siapa yang benar-benar menerima manfaat daripada peruntukan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan bahawa Nurul Izzah Anwar masih aktif dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun telah melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Beliau berkata, Nurul Izzah kini sedang mengikuti satu program khas di luar parti untuk tempoh tertentu, namun tetap akan meneruskan sumbangannya kepada PKR.
“Dia ada program khas di luar buat sementara waktu. Tidak mengapa, kita boleh terima. Tetapi dia masih aktif dalam parti,” katanya.
Semalam, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR selepas mempertimbangkan keputusan itu secara mendalam.
Keputusan itu katanya, bagi memberi tumpuan kepada laluan baharu yang lebih menekankan khidmat dan sumbangan kepada masyarakat tanpa memegang jawatan politik rasmi.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menegaskan, keputusan berkenaan tidak menjejaskan komitmennya terhadap PKR mahupun sokongannya terhadap hala tuju parti di bawah kepimpinan Anwar. - Getaran, 7 Ogos 2026






