TANGKAK - Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan kononnya Johor tidak menerima perhatian sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan apabila negeri itu memperoleh peruntukan pembangunan yang lebih tinggi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan yang dibuat bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri menunjukkan Johor menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM14.6 bilion ketika ini berbanding RM10.2 bilion sebelum Anwar menerajui kerajaan.
Menurut beliau, fakta tersebut membuktikan dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan mengabaikan Johor adalah tidak berasas.
“Kalau ada pihak mengatakan Johor tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, kita jawab dengan fakta.
“Saya semak dengan ICU. Sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Johor menerima RM10.2 bilion. Apabila beliau menjadi Perdana Menteri, jumlah itu meningkat kepada RM14.6 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir di sini pada malam Isnin.
Saifuddin berkata, angka tersebut perlu dijadikan jawapan oleh jentera PH sekiranya isu peruntukan kepada Johor dibangkitkan sepanjang kempen PRN nanti.
Dalam pada itu itu, beliau turut menjawab kritikan mengenai kelewatan pelaksanaan projek pembangunan termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Menurutnya, projek sepanjang enam kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands itu diumumkan sejak era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak bergerak mengikut perancangan pada beberapa pentadbiran selepas itu.
“Di bawah Kerajaan Madani, pelbagai isu termasuk berkaitan tanah dan perancangan berjaya diselesaikan sehingga projek ini dijadualkan beroperasi pada hujung tahun ini.
“Kita tidak melambatkan pembangunan. Sebaliknya, kita yang menyelesaikan masalah dan memastikan projek itu dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau seterusnya mengingatkan jentera parti supaya kekal fokus terhadap isu yang dibawa lawan politik dan menjawabnya berdasarkan data serta fakta yang sahih.
Beliau menegaskan jentera PH perlu menyampaikan maklumat tersebut kepada rakyat bagi memastikan mereka mendapat gambaran sebenar mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Johor.

.jpg)




