Peruntukan KKDW: Jangan jadi DAP - Exco Pemuda UMNO

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peruntukan KKDW: Jangan jadi DAP - Exco Pemuda UMNO
Fadzmel berkata, setiap perbelanjaan kementerian tertakluk kepada kelulusan, waran dan sistem kewangan kerajaan.

SHAH ALAM - Dakwaan berlaku 'terlebih belanja' berjumlah RM2.1 bilion melibatkan Program Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dilihat berdasarkan peruntukan yang telah dipinda, bukan hanya jumlah asal.

Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, kegagalan membezakan kedua-dua perkara itu boleh menyebabkan angka perbelanjaan kerajaan diterjemahkan secara tidak tepat.

Malah menurutnya, setiap perbelanjaan kementerian tertakluk kepada kelulusan, waran dan sistem kewangan kerajaan, justeru kementerian tidak boleh sesuka hati membelanjakan wang melebihi peruntukan yang diluluskan.

"Bagi projek pembangunan, peruntukan boleh diselaraskan mengikut keperluan projek dan tertakluk kepada kelulusan, termasuk daripada Kementerian Kewangan (MOF).

"Jangan bandingkan peruntukan asal dengan perbelanjaan akhir tanpa melihat peruntukan yang telah dipinda," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin membuat laporan kepada SPRM berhubung peruntukan projek JLB KKDW termasuk perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan dan perbelanjaan projek berkenaan.

Zhemin berkata, laporan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman bahawa agensi berkenaan akan menyiasat perkara itu selepas menerima aduan rasmi.

Mengulas lanjut, Fadzmel menjelaskan, peruntukan asal JALB adalah sekitar RM3.982 bilion sebelum diselaraskan kepada RM6.143 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025,

Menurutnya, jumlah perbelanjaan sebenar bagi tempoh berkenaan pula adalah RM6.108 bilion dengan baki kira-kira RM34.3 juta untuk dibelanjakan.

"Sebab itulah kadar peratusan belanja KKDW berubah daripada 61.3 peratus kepada 58.4 peratus selepas pelarasan dengan beza hanya 2.9 mata peratus.

"Yang berubah ialah jumlah peruntukan selepas penyelarasan, bukan wang tiba-tiba dibelanjakan sesuka hati.

"Saya berharap rakyat dapat memahami tatacara kewangan kerajaan sebaiknya dan jangan jadi DAP," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved